Isu baiah yang diperkenalkan dalam PAS terhadap mana-mana wakil rakyat negeri khususnya Kelantan yang berniat untuk meninggalkan parti tersebut adalah satu tindakan yang tidak munasabah.
Mana mungkin demi kepentingan politik parti, rumahtangga diperjudikan dengan menceraikan pasangan secara tidak langsung. Jika inilah keadaan politik yang diamalkan, akhirnya wanita dan keluarga akan terus menerus menjadi bahan mainan politik tidak matang.
Wanita atau isteri memainkan peranan yang paling penting dalam institusi keluarga. Lafaz baiah dan ta’liq itu tidak seharusnya menjadikan isteri dan keluarga sebagai gadaian atau cagaran untuk kerja politik.
Ini menimbulkan keraguan di mana jika Islam itu menjadi landasan utama dalam matlamat perjuangan, apakah Islam dan keluarga itu dua perkara yang berbeza?
Politik, Islam dan keluarga adalah perjuangan yang satu tanpa perlu sebarang pemisahan. Tindakan mengingkari baiah itu seolah-olah sama tarafnya seperti keluar dari agama.
Penceraian talak tiga yang dijatuhkan kepada isteri tanpa sebab adalah satu perkara yang tidak boleh diterima akal. Bukankah talaq adalah perkara yang paling tidak disukai Allah walau ada hukum yang diharuskan.
Ia adalah satu rahmat yang diberi oleh Allah bagi suami isteri yang benar-benar memerlukannya. Tidak wajar jika terputus hubungan suami isteri, bukan kerana krisis dan ketidaksefahaman tetapi disebabkan perkara luar dari urusan peribadi mereka.
Maka, sebarang talak untuk tujuan luar rumah tangga memerlukan dalil dan hujah yang benar-benar kukuh. Kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan penyalahgunaan objektif asal peruntukan yang diberikan oleh Allah.
Apakah ahli-ahli parti tidak boleh meninggalkan PAS hanya kerana terikat dengan lafaz talaq tiganya?
Walaupun ianya satu acara yang dipersetujui, namun para lelaki seharusnya memikirkan akibat yang ditanggung oleh wanita sekiranya penceraian tanpa rela ini berlaku.
Wanita tidak harus dianiaya hanya kerana sebuah perjanjian taat setia terhadap parti.
Semoga ini menjadi pengajaran bagi ahli politik di Malaysia, bahawa menjadikan wanita sebagai cagaran dan gadaian dalam politik adalah satu perkara yang sungguh mundur. Kita bukan hidup di zaman jahiliyyah.
Allah sendiri mengangkat wanita dalam Al-Quran, tetapi pemimpin pemimpin Islam di Malaysia menganggap wanita itu sebagai satu bahan yang boleh dipermain-mainkan.
Jika penindasan begini terus berlaku terhadap wanita, ia akan menjadi lebih sukar untuk mengiktiraf wanita khususnya wanita Islam di Malaysia.
ZURAIDA KAMARUDIN ketua Wanita PKR dan MP Ampang
No comments:
Post a Comment