Search This Blog

Saturday 14 November 2015

Amanah yakin Pas berubah



KOTA BHARU – Parti Amanah Negara yakin Pas akan berubah dan sudi bekerjasama dengan Pakatan Harapan menjelang PRU14 akan datang.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, Pas tidak seharusnya melihat parti itu memusuhi mereka kerana Amanah bekerja atas semangat kerjasama pembangkang melalui Pakatan Harapan.

“Sedangkan kita sebenarnya bergerak untuk mempertahankan Kerajaan Kelantan daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

“Sikap Pas yang mengambil keputusan untuk bergerak secara sendirian, telah mewujudkan seolah-olah pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, BN dan Pas. Walaupun begitu, kita berharap Pas akan berubah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan Amanah tidak boleh dipercayai dan berbohong kepada rakyat mengenai matlamat perjuangan mereka.

Menurutnya, Amanah ditubuhkan akibat daripada rasa kecewa dan hilang keyakinan sebahagian daripada pemimpin dan penyokong Pas ke atas sikap pemimpin itu sendiri terutama berhubung hala tuju perjuangan Pas dan hubungannya dengan parti-parti politik lain.

Beliau berkata, Pas hari ini dilihat amat memusuhi rakan politik dari kalangan pembangkang, dan dalam masa yg sama mengamalkan dasar ‘mesra Umno’ dalam politik.

“Pada awal penubuhan Amanah, memang kita tidak bercadang untuk menjadikan semua parti pembangkang termasuk Pas sebagai lawan politik kerana penubuhan Amanah ialah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Pas dalam pakatan pembangkang melalui penubuhan Pakatan Harapan.

“Namun semenjak parti Amanah ditubuhkan secara rasmi pada 31 Ogos 2015, Pas tidak pernah membuka ruang kerjasama dan perbincangan secara rasmi dengan parti-parti pembangkang lain termasuk parti Amanah.

“Sikap Pas sebenarnya telah mencipta ruang untuk dilihat seolah-olah penubuhan Amanah adalah bertujuan menentang Pas, sedangkan sasaran kita ialah menentang BN satu sama satu melalui Pakatan Harapan,” katanya.

‘Harum manis’ pertama gugur 19 November

Dr Ismail Salleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah

ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah memberi gambaran bahawa ‘harum manis’ pertama akan gugur dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Dr Ismail Salleh berkata, harum manis yang dimaksudkan ialah pemimpin dan ahli yang luarannya pengikut Pas tetapi dalamannya menyokong Amanah.

“Kita seolah dicabar untuk menunjukkan bukti bahawa wujudnya ahli Pas yang cenderung kepada Amanah.

“Maka kita akan tunjuk bukti kepada mereka dalam bentuk gugurnya buah itu. Sekarang kita bagi mereka bau dulu bunganya,” katanya kepada media di Ibu Pejabat DAP Kedah, Jalan Putra, di sini, semalam.

Menurutnya, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan didedahkan pada 19 November ini kerana terpaksa menunggu ‘harum manis’ tersebut masak sebelum boleh diambil dan kupas.

Difahamkan, gelombang pertama ‘harum manis’ itu adalah melibatkan lebih 300 ahli Pas Kawasan Pokok Sena.

Mengulas lanjut perkara itu, Ismail mengesahkan terdapat beberapa pemimpin besar dalam Pas Kawasan juga akan terlibat.

“Buat masa ini ia hanya melibatkan peringkat kawasan. Di peringkat negeri kita akan buat pada gelombang berikutnya nanti,” katanya.

Pas Kedah sebelum ini tidak bimbang dengan dakwaan wujudnya ‘harum manis’ yang dikatakan cenderung kepada Amanah walaupun masih bergelar ahli pas.

Timbalan Pesuruhjaya III, Muhammad Sanusi Md Noor turut mencabar Amanah untuk menunjukkan bukti jika benar terdapat ‘harum manis’ dalam parti Islam itu.

Pada perkembangan lain, Ismail turut menegaskan bahawa Amanah Kedah belum berbincang mengenai hasrat untuk bertanding di kawasan Pas.

“Kita berada dalam satu pakatan. Apa-apa keputusan akan dibincangkan dahulu dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

“Lawan kita hanyalah BN. Bermakna hanya ada dua penjuru iaitu satu oleh Pakatan Harapan dan satu lagi oleh BN,” katanya.

Tambahnya, mana-mana parti lain yang tercicir daripada itu adalah dianggap melakukan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

“Kami dalam Pakatan Harapan hanya akan lawan BN, yang lain kami tidak kacau. Tapi kalau dia (Pas) masuk, dia lah yang akan buat tiga penjuru.

“Tentang spesifik Dun dan Parlimen itu bukan dalam bayangan kita lagi sebab masih di peringkat awal untuk tambah bilangan ahli,” katanya.

'Amanah bukan parti menumpang'



TUMPAT – Parti Amanah Negara (Amanah) bukanlah parti yang menumpang Pas tegas presidennya, Mohamad Sabu.

Malah kejayaan Pas selama ini juga kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu adalah atas usahanya kerana beliau bersama Pas dan membina parti Islam Pas itu selama 37 tahun.

“Kita tak tumpang Pas, kejayaan Pas selama ini kejayaan bersama.

"Saya baru tinggalkan Pas empat bulan, jadi selama ini 37 tahun saya telah bina Pas, kejayaan Pas selama ini kami yang buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program Santai Pagi Bersama Presiden di dataran Wakaf Bharu bersebelah Pasar Wakaf Bharu, pagi tadi.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Amanah seperti ingin menumpang apa yang telah dibina oleh Pas selama ini berikutan kenyataan Mat Sabu, Amanah sedia mengantikan Pas mentadbir Kerajaan Kelantan pada PRU 14.

Mengulas kesediaan Amanah menggantikan Pas, Mat Sabu berkata, ia bukan satu mimpi selepas melihat sokongan rakyat pada parti Amanah.

“Tak mimpi... tak mimpi… kami akan melihat perkembangan sokongan, setakat ini sokongan sangat hebat,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Amanah sedia 'selamatkan' Kelantan?]

Dalam ceramahnya di Pasir Mas kelmarin, Amanah mempertimbangkan untuk meletakkan calon PRU 14 di Kelantan sekaligus berusaha mengambil alih kepimpinan Pas Kelantan.

Hasrat itu bagi menyelamatkan Kelantan kerana mendakwa Pas negeri itu terpalit dengan pelbagai isu dan masalah.

Friday 13 November 2015

Menteri didakwa main golf, beli belah dengan wang anak yatim.

Menteri main golf, beli-belah dengan wang anak yatim'

Lawatan seorang menteri Umno ke Amerika Syarikat dengan perbelanjaan RM410,978 didakwa dibayar oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Ia didakwa dibayar melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk anak yatim dan kanak-kanak miskin, dakwa Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir.

Memetik invois yang dibilkan kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) yang diperolehnya, Akmal mendakwa lawatan ke Washington DC, Iowa dan Minnesota daripada 21 hingga 29 Mei 2014 itu membabitkan aktiviti golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah.

Akmal mendakwa isteri menteri itu juga merupakan sebahagian daripada rombongan tersebut.

Invois yang diperolehnya menunjukkan bahawa RM274,493 dibelanjakan untuk tiket penerbangan pergi balik untuk menteri itu dan isterinya.

Lain-lain perbelanjaan yang dibelanjakan untuk menteri itu termasuk RM1,658.96 untuk golf, RM1,565.98 untuk majlis makan malam dan RM3,200.72 untuk cenderahati.

Penginapan untuk menteri itu dan isterinya selama tiga malam berjumlah RM2,675.43.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama menteri itu sehingga mendapat respons beliau terhadap pertanyaan kami.

Yapeim berkata sedia disiasat dan memberi kerjasama penuh berhubung sebarang dakwaan salah laku melibatkan badan itu, kata ketua pengarahnya.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Kumpulan Yapeim menegaskan, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip syariah dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan dan operasi.

Yapeim ditubuhkan pada Oktober 1976 untuk memfokuskan kepada kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam dengan melibatkan diri dalam sektor perniagaan.

Tuesday 10 November 2015

Khalid: PAS tak faham keperluan pakatan tadbir Selangor.



Khalid: PAS tak faham keperluan pakatan tadbir S'gor

Ketua Penerangan Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad berkata, PAS tidak memahami sepenuhnya kedudukan mereka dalam membentuk kerajaan negeri Selangor dan tanggungjawab yang harus dipikul itu.

Khalid yang adalah bekas Timbalan Pesuruhjaya untuk PAS Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan parti Islam itu berhubung cadangan AMANAH supaya mereka menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjelaskan kekeliruan status kerajaan negeri Selangor.

"Saya merasa aneh bahawa mereka tidak melihat keperluan untuk parti-parti yang membentuk kerajaan negeri untuk mempunyai perjanjian antara mereka tentang apa yang mereka persetujui bersama.

"Malah kenduri di kampung pun, semua pihak perlu bersetuju mengenai apa yang perlu dilakukan dan menyelaraskannya di antara satu sama lain, apatah lagi ini pula dalam kerajaan," katanya lagi

Bagaimanapun, katanya, reaksi berhubung cadangan AMANAH berhubung kerjasama dalam kerajaan negeri Selangor dibuat oleh mereka yang bukannya dari negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang bersama kerajaan negeri Selangor akan memahami keperluan untuk perjanjian seperti yang dicadangkan oleh AMANAH dan menjelaskan kepada mereka yang jahil.

Keengganan PAS untuk bekerjasama dengan AMANAH dan DAP membayangkan bahawa parti itu mengutamakan agenda politik daripada menjadi kerajaan yang cekap dan berkhidmat dengan berkesan untuk rakyat, katanya.

"Mungkin mereka tidak faham bahawa cadangan AMANAH adalah untuk membantu mereka dalam memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mentadbir Selangor dengan Pakatan Harapan.

"Ini mungkin kerana mereka terlalu curiga dengan niat kita. Kita tidak mempunyai masa untuk membuktikan kepada mereka mengenai keikhlasan niat itu," katanya.

Jika PAS boleh menolak cadangan yang munasabah seperti ini, Khalid berkata beliau tidak “melihat kebijaksanaan daripada golongan itu pada masa akan datang.

AMANAH sedia ganti PAS di Kelantan, kata Mat Sabu





AMANAH sedia ganti PAS di Kelantan, kata Mat Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH) bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima AMANAH). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di Pasir Mas, malam semalam.

Mat Sabu berkata pada masa ini, AMANAH akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan PKR.

"Sekarang hal PRU14 kita tak bincang lagi di negeri atau tempat mana, melainkan (Pilihan Raya Negeri) di Sarawak... kami akan cubalah untuk dapatkan kerusi bertanding di sana," katanya.

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...