Search This Blog

Saturday 9 January 2016

DUN Johor: Perwakilan AMANAH saran DAP tak letak calon Melayu guna logo parti itu



Seorang perwakilan AMANAH Johor menyarankan supaya DAP tidak meletakkan calon Melayu untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di bawah logo DAP.

Timbalan Ketua AMANAH Johor, Zulkefly Ahmad berkata, Umno telah meyakinkan orang Melayu di luar bandar Johor bahawa DAP anti-Melayu dan anti-Islam.

Oleh itu, beliau berkata, jika DAP mahu meletakkan calon bertanding kerusi DUN di Johor, ia perlu menggunakan logo PKR atau AMANAH.

"Saya tidak bimbang terhadap sokongan daripada rakan-rakan Tionghua

di Johor, tapi saya bimbang terhadap pengundi Melayu di negeri Johor.

"Johor mencadangkan, kalau boleh, supaya praktikal DAP tidak letak calon Melayu di kerusi negeri, kecuali Parliamen.

"Kalau perlu letakkan calon, terima logo PKR ataupun AMANAH," kata Zulkefly di sidang kemuncak kepimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Beliau membahaskan perjanjian bersama Pakatan Harapan yang ditandatangani hari ini.

Pemimpin Pakatan Harapan dilihat cepat menjauhkan diri mereka daripada cadangan Zulkefly itu.

"Kita memberinya kebebasan untuk bercakap [...] tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tidak akan terperangkap dengan politik perkauman," kata Presiden AMANAH Mohamad Sabu dalam sidang akhbar selepas itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga bersetuju bahawa Zulkefly mempunyai hak untuk bercakap, tetapi pandangannya tidak mencerminkan pendirian Pakatan Harapan.

Tiada lagi 'bersetuju untuk tidak bersetuju', kata Pakatan Harapan



Pakatan Harapan tidak lagi akan 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dan mana-mana parti yang melanggar konsensus gabungan itu akan dipecat.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata 'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak lagi menjadi prinsip Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga parti, katanya, bebas untuk membuat keputusan politik mereka, selagi ia tidak bertentangan dengan perjanjian dan keputusan bersama yang dimeterai hari ini, atau yang dibuat oleh majlis presiden.

Beliau berkata demikian di sidang kemuncak kepimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini, di mana PKR, DAP dan AMANAH akan menandatangani perjanjian bersama untuk gabungan mereka.

Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kaiat pula berkata, jika mana-mana parti-parti itu didapati melanggar perjanjian tersebut, parti-parti lain dalam Pakatan Harapan mempunyai hak untuk memecatnya dari gabungan itu.

Status Pakatan Harapan sebagai satu pakatan politik antara parti-parti berkenaan, tambahnya, hanya boleh diumumkan oleh majlis presiden.

Klausa ini dalam perjanjian Pakatan Harapan itu dengan jelas bermaksud pakatan itu tidak boleh dibubarkan secara unilateral.

Ini akan menghalang apa yang telah berlaku terhadap Pakatan Rakyat, yang berkubur selepas pemimpin DAP Lim Kit Siang mengumumkan pembubarannya.

Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mengumumkan bahawa di bawah perjanjian itu, pertandingan tiga penjuru yang melibatkan lebih daripada satu parti dalam gabungan Pakatan Harapan, tidak akan berlaku lagi.

Pakatan Harapan, katanya, hanya akan meletakkan seorang calon untuk mewakili pakatan itu dalam mana-mana pilihan raya.

Beliau berkata calon-calon akan dipilih oleh parti masing-masing, manakala pengagihan kerusi akan diputuskan oleh sebuah jawatankuasa pilihan raya.

Semua keputusan mesti diluluskan oleh majlis presiden, katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata parti-parti dalam pakatan itu juga dilarang daripada mengadakan rundingan terus dengan parti-parti di luar Pakatan Harapan selepas pilihan raya.

Ini, kata Loke, termasuk membentuk kerajaan atau sebuah pentadbiran, kecuali jika majlis presiden dimaklumkan terlebih dahulu..

Wednesday 6 January 2016

PAS TIADA HAK HALANG AMANAH DUDUKI KERUSI PBT



PAS tiada hak menghalang Parti Amanah Negara (Amanah) daripada menduduki kerusi ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor kerana Amanah mempunyai wakil di negeri itu.

Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim berkata, keputusan mengenai kerusi PBT terletak di tangan kerajaan negeri yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

“Bukan hak PAS untuk menghalang Amanah sebab keputusan nak bagi kerusi PBT ini adalah keputuan bersama Pakatan Harapan. 

“Kuota itu hendaklah dibincang bersama dalam Pakatan Harapan kerana kerajaan negeri merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan di Selangor,” kata beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Izham mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad semalam bahawa PAS Selangor tidak akan memberi laluan kepada Amanah untuk mendapatkan kuota ahli majlis PBT di negeri itu.

Menurut Izham, pihaknya hanya memohon bilangan kerusi yang minimum iaitu dua bagi setiap kawasan.

“Kita tidak minta kuota yang melampau paling maksimum dua sahaja setiap PBT. Takkan sorang-sorang satu PBT, macam mana nak buat kerja. Kita bukan nak jawatan pun tapi nak berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi.

Izham juga berkata, Iskandar tidak sewajarnya menyamakan pemilihan ahli jawatankuasa masjid dengan pemilihan ahli majlis PBT.

“Lantikan masjid berasaskan kepada mesyuarat agung ahli kariah dan senarai nama diputuskan di peringkat Majlis Agama Islam Selangor. Parti tak ada kena mengena. Kalau kebetulan ahli Amanah dapat jawatan itu, itu hak peribadi dia. Iskandar sepatutnya lebih tahu perkara ini, jangan cakap mengarut,” katanya.

Iskandar semalam berkata, ahli PAS akan marah jika kerusi PBT diberikan kepada ahli Amanah kerana dalam pemilihan nazir masjid baru-baru ini, calon-calon PAS yang berkebolehan tidak dipilih oleh Jabatan Agama Islam Selangor sedangan calon Umno dan Amanah terpilih.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ahli majlis baharu akan diumumkan pada 16 Januari ini.

Beliau sebelum ini juga berkata, kerusi akan diberikan kepada Amanah secara adil.

Monday 4 January 2016

AMANAH Kelantan sedia tandingi PAS pada PRU14

 

AMANAH Kelantan sedia tandingi PAS pada PRU14

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan sedia bertanding mencabar PAS di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14, kata Pengerusinya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata AMANAH Kelantan masih berharap PAS negeri itu bekerjasama bersama mereka bagi mengelak berlakunya pertandingan melibatkan kedua-dua parti itu nanti.

"Saya dah suarakan lebih empat bulan lepas (berkenaan kerjasama), tapi sehingga sekarang masih tak ada respons (daripada PAS).

"Saya tak wakili AMANAH Pusat untuk kerjasama sebab ramai di kalangan sahabat-sahabat tak setuju dengan pendirian saya ini," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini dilaporkan sebagai berkata sekiranya AMANAH bertanding di negeri itu, ia akan hanya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

"Persiapan kita untuk bertanding akan diteruskan (jika PAS tidak mahu bekerjasama)...(dan) saya tak nak dicatat dalam sejarah politik Kelantan sebagai pihak yang meruntuhkan kerajaan Kelantan yang diasaskan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya.

-Bernama

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...