Search This Blog

Monday 14 December 2015

Kastam kutip GST berjumlah RM30 bilion

TIMBALAN Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili (tengah) menyampaikan piala kepada pelatih terbaik keseluruhan, Ruslyana Farahana Ruslee, 25, (kiri) sambil diperhatikan Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Azimah Abd Hamid (kanan) pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di AKMAL, Bukit Baru, Melaka
MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memungut hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM30 bilion setakat ini. 
 
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili, berkata bilangan individu dan syarikat yang mendaftar untuk pelaksanaan GST turut meningkat kepada 400,000 sejak cukai itu diperkenalkan pada 1 April lalu. 

"Kutipan memang tinggi daripada sasaran dan ia dijangka meningkat tahun depan," katanya pada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad bagi merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengarah AKMAL, Azimah Abd Hamid. 

Seramai 250 pelatih menamatkan kursus asas penguat kuasa gred berkenaan selepas mengikuti pelbagai latihan yang diadakan selama lapan minggu bermula 19 Oktober hingga 14 Disember lalu di AKMAL.

Amanah 'bot penyelamat' teruskan perjuangan Islam, kata Dr Siti Mariah


Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud
Pelajar wanita pertama yang memakai tudung di Kolej Tunku Kursyiah, Dr Siti Mariah Mahmud yakin, Parti Amanah Negara (Amanah) yang beliau sama-sama tubuhkan adalah 'bot penyelamat' perjuangan Islam selepas ramai ahli PAS mahu meninggalkan parti itu.

Pendekatan sebahagian besar pimpinan PAS yang tidak lagi sesuai dan dilihat merugikan perjuangan Islam menyebabkan mereka mahu meninggalkan parti itu tetapi mahu kekal dalam perjuangan yang menjadikan Islam sebagai dasar.

“Amanah ini satu bot penyelamat kepada ahli-ahli yang nak berjuang atas landasan Islam tetapi tidak bersetuju dengan pendekatan pemimpin PAS sekarang,” kata Dr Siti Mariah kepada Malaysia Dateline dalam satu pertemuan khas dengan beliau.

Inilah sebab di sebalik tindakan ahli parlimen Kota Raja ini bersama-sama membina Amanah, parti Islam baru yang kini sedang membina jati diri dan membentuk sebuah parti baru yang inklusif dan berteraskan rahmatan lil alami (rahmat untuk seluruh alam).

Dr Siti Mariah yang kini memegang jawatan sebagai ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) mengakui tindakan tersebut merupakan keputusan besar dalam perjuangannya membawa politik Islam yang sesuai dengan keperluan masyarakat hari ini.

Menurutnya, beliau boleh sahaja memilih untuk terus berada dalam zon selesa bersama PAS namun memilih untuk bersama Amanah yang lebih inklusif demi kelangsungan politik Islam di negara ini.

“Memang kalau ikut keselesaannya duduk dalam parti lama diam-diam, kemudian berhenti sebagai wakil rakyat dengan terhormat, disanjung dan dipuja. Sekarang saya dimaki dan dicerca.

“Tapi bagi saya, Allah tahu niat saya kenapa saya menerima ajakan untuk bersama dengan Amanah.

“Sekiranya Amanah tidak terbentuk maka ramai ahli PAS akan meninggalkan parti dan menyertai DAP atau PKR," katanya.

Beliau juga berkata, jika terus berada dalam PAS, beliau tidak boleh membawa idea yang baru dan sukar untuk membuat perubahan kerana ahli dan pemimpin PAS sudah mempunyai cara fikir dan cara kerja yang sudah sebati dengan diri mereka.

“Masa dalam PAS saya dah mula selesa sebab PAS kuat cuma dalam PAS ini sudah ada cara kerja tertentu, sudah ada acuan jadi saya nak buat perubahan agak susah maklumlah dah 60 tahun jadi nak mengubah itu memang agak susah.

“Tapi dalam Awan saya rasa bagus sebab saya ada peluang untuk membentuk dan mengacu semula cara berfikir, cara bertindak. Dalam PAS hasil daripada kita menongkah arus maka kita menjadi tidak disukai,” ujar bekas pegawai perubatan dan juga pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan ini.

Walaupun tidak menafikan dasar PAS masih sama iaitu Islam, namun sikap sebilangan besar pemimpinnya akhir-akhir ini yang merasakan mereka sahaja di pihak yang benar menjadikan beliau tawar hati dengan parti yang disertainya sejak tahun 1980-an lagi.

Berbicara dengan wanita berusia 58 tahun ini, beliau ternyata tidak lokek berkongsi isi hatinya tentang suka duka dalam perjuangan politiknya.

Tanpa berselindung Siti Mariah memberitahu, tahun ini beliau pernah memasang angan-angan untuk bersara daripada dunia politik dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga selain meneruskan hobi berkebun.

Katanya, selepas kalah dalam pemilihan bagi jawatan timbalan ketua Dewan Muslimat PAS dalam muktamar Jun lalu, beliau hanya mahu menghabiskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Kota Raja sebelum meninggalkan dunia politik.

Lebih-lebih lagi PAS sudah menunjukkan tanda-tanda perpecahan ketika itu dan budaya label-melabel semakin ketara.

“Bila terbentuknya Amanah maka saya diamanahkan mengetuai Awan dan saya lihat tanggungjawab saya untuk menyiapkan satu asas yang kukuh kepada sayap wanita ini.

“Ini sekali lagi memerlukan pengorbanan kerana ini kita mula dari kosong balik. Sesiapa yang menuduh kononnya saya nak jadi ketua, saya nak jawatan, saya ada kepentingan, dia tak akan faham jiwa saya jiwa aktivis dan jiwa pejuang. Saya tidak boleh hanya melihat sesuatu keadaan itu terbiar tanpa memberikan sumbangan,” katanya.

Namun beliau menambah, selepas berhijrah ke Amanah, rindu terhadap rakan-rakan dalam PAS begitu tebal.
Dr.Siti Mariah sentiasa mempunyai aktiviti bersama pengundi di kawasannya
“Tapi rasa sedihnya saya adalah saya merindui kawan-kawan, merindui muslimat yang pada saya sebahagian besar ikhlas, sebahagian besar berjuang kerana Allah dan tidak ada kepentingan dengan diri. Itu saya tidak dapat sangkal,” luahnya.

Berdakwah sejak tingkatan empat

Bekas penuntut Kolej Tunku Kurshiah ini pernah diperli oleh pengetuanya kerana ‘berdakwah' tanpa tauliah.

Cerita Siti Mariah, sewaktu di tingkatan empat, buat pertama kali beliau menyertai perkhemahan ibadah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Dalam perkhemahan itu beliau didedahkan dengan cara hidup Islam yang sebenar, konsep khalifah dan tujuan kehidupan di dunia.

Sekembalinya dari perkhemahan, beliau mula memakai tudung dan merupakan pelajar perempuan pertama yang bertudung di kolej tersebut.

Beliau juga berasa bertanggungjawab untuk menyebarkan dakwah kepada pelajar lain dengan mengadakan usrah di kalangan kawan-kawan.

Akibatnya, sewaktu perhimpunan mingguan, pengetua kolej dalam ucapannya memerli dengan mengatakan bahawa orang yang tidak ada tauliah untuk mengajar agama tidak boleh memandai-mandai berdakwah kepada orang lain.

Namun beliau menganggap ia satu cabaran untuk terus mengamalkan Islam yang sebenar seterusnya menyebarkannya kepada orang lain.

“Jadi saya balik ke asrama saya mula berdakwah dengan budak-budak kolej. Sampai sekarang kalau mereka jumpa saya, mereka akan kata, inilah Kak Mariah. Dulu dia yang mula-mula pakai tudung. Saya dah mula berdakwah waktu itu tapi tak pernah memimpin,” ceritanya sambil ketawa.

Perbualan kami beberapa kali terhenti apabila beliau menjawab panggilan daripada penduduk Parlimen Kota Raja, kawasan yang diwakili bagi penggal yang kedua selepas menang buat pertama kali dalam pilihan raya 2008 lalu.

Beberapa pemanggil ketika itu menghubungi beliau mengadu bekaitan masalah banjir kilat yang melanda kawasan mereka.

“Setiap kali hujan lebat, saya jadi tak senang hati memikirkan penduduk di kawasan saya. Telefon saya pun tak berhenti berdering.

“Saya sudah banyak kali buat aduan ke majlis perbandaran tapi masih tak selesai-selesai,” luahnya kesal.

Parlimen Kota Raja merupakan kerusi parlimen yang dimenangi beliau dalam pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti tertinggi di kalangan ahli parlimen PAS iaitu 29,792 undi.

Pengundinya pula adalah pelbagai kaum iaitu 46% Melayu, 38% India dan 16% Cina, suatu kerusi yang luar biasa untuk PAS menang sebelum pilihan raya umum 2008.

Pendek kata, kemenangan Dr Mariah di Kota Raja di saming rakan-rakannya yang lain di kawasan kerusi campuran membuka satu dimensi baru perjuangan Islam di negara ini.

Namun sikap sesetengah pemimpinnya yang dilihat cuba menjauhi dan memusuhi orang bukan Islam dan parti mereka telah menjauhkan PAS dari mereka dan seterusnya memecahkan parti itu dan terbentuknya Amanah.

Penguatkuasa agama jangan ceroboh ruang peribadi


Penguatkuasa agama jangan ceroboh ruang peribadi

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
14 Dis 2015, tengahari 2:34

ULASAN Isu yang dibangkitkan oleh G25 baru-baru ini tentang tangkapan khalwat perlu didasari atas beberapa konsep dosa dan apa yang dikategorikan sebagai kesalahan awam.

Islam amat tegas dalam soal dosa kerana ia adalah perosak kepada individu dan berpotensi untuk menjerumuskan masyarakat dalam kelalaian dan kealpaan terhadap ajaran Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Janganlah memandang kecil kesalahan (dosa) tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu derhakai” (hadith riwayat ath-Thusi)

Dosa dinilai keburukannya dari sudut pelaku dan sejauhmana kesannya pada orang ramai. Pelaku dosa yang hanya merosakkan dirinya tak sama dengan pelaku dosa yang merosakkan dirinya dan orang ramai.

Rasuah dan merompak harta awam dan menyembunyikan kebenaran adalah contoh kategori dosa yang melibatkan kerosakan pada manusia terbanyak.

Kesan jangka panjang sesebuah perbuatan dosa juga hendaklah dipertimbangkan oleh pemimpin masyarakat dan penggubal polisi awam.

Berhubung hal ini Imam Al-Shabiti menyatakan:

“Memperhatikan kesan masa depan sesebuah perbuatan adalah antara perkara yang menjadi tuntutan untuk merealisasikan objektif Syara.”

Dosa atau kesalahan yang mengundang murka Allah juga dilihat dari sudut perbuatan sama ada dibuat secara Jahri (terang-terangan) atau Sirri (senyap dan diam-diam). Walaupun kedua-dua keadaan tetap satu dosa namun melakukannya secara terangan menambah satu lagi kesalahan iaitu 'mencabar' perintah laranganNya.

Tidak solat dalam diam adalah dosa namun mengisytiharkan solat itu tak berfaedah dan mengingkarinya secara terangan bagi seorang muslim adalah satu perbuatan mencabar Allah.

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan mendapat ampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah telah menutupi perbuatannya tersebut, yang mana dia berkata, “Hai fulan, tadi malam aku telah berbuat begini dan begitu.”

Sebenarnya pada malam hari Rabb-nya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah tersebut.” (Muttafaq ‘Alaih)

Bagi Muslim piawaian dosa serta tanggungjawab pula hanyalah mengikut apa yang ditetapkan oleh syara. Kita tidak boleh paksa piawaian dosa ke atas penganut lain. Firman Allah SWT: ‘Tidak ada paksaan dalam beragama.’ (QS. Al-Baqarah: 256)

Jangan ceroboh ruang peribadi

Dosa boleh dianggap kesalahan umum apabila perbuatan seseorang sama ada Muslim atau bukan Muslim mencerobohi ruang awam dan membahayakan keselamatan atau merosakkan akhlak awam dan berupaya merosakkan prinsip masyarakat yang diterima ramai.

Bagi ruang peribadi atau sendiri kesalahan melakukan sesuatu perbuatan dosa tanpa pelaku menceroboh ruang awam, kesalahannya diperhitung kelak oleh Allah. Jika kita mengetahuinya maka hendaklah menasihati agar ia bertaubat dan memohon istighfar.

Rasulullah SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Mereka (para sahabat) bertanya,"Untuk siapa, wahai Rasulullah?" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,"Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam kaum Muslimin atau Mukminin, dan bagi kaum Muslimin pada umumnya.”(hadith riwayat Muslim)

Penguatkuasaan atas jenayah dosa lebih kepada kesedaran dan pertanggungjawaban hamba dengan Allah selagi ia bukan jenayah mencabar Allah terang-terangan dan merosakkan maslahat kepentingan masyarakat sehingga lahir benci-membenci antara manusia.

Islam mewajibkan hamba Allah bertaubat pada kesalahannya dengan beristighfar dan membenci perlakuan dosa serta menghayati perasan kesal pada perbuatannya.

Tanggungjawab para ulama dan mereka yang mengetahui adalah sentiasa menasihati supaya sentiasa membenci perkara maksiat dan menekankan Kerahmatan Allah pada pelaku dosa.

Dari Abu Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku,” (Muttafaq ‘Alaih)

Peruntukan penguatkuasa agama membasmi maksiat janganlah melampaui had menceroboh ruang peribadi kerana kesalahan menceroboh ruang peribadi seseorang juga adalah satu dosa.

Allah SWT berfirman: “dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?,” (QS. Surah al-Hujurat: ayat 12)

Penguatkuasaan atas nama agama perlu dicermati malah ada keadaan tertentu yang melibatkan salah guna kuasa para penguatkuasa dan ini amatlah menjengkelkan.

Sudahlah menceroboh ruang peribadi ditambah pula salah guna kuasa. Semuanya dibuat atas nama Islam.

Dosa tetap dosa selagi ia ditetapkan oleh syara. Penguatkuasaan diperlukan terhadap perbuatan yang dianggap sebagai mencabar ajaran Islam secara terangan-terangan.

Walaubagaimanapun tindakan penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.

Jaga nama baik Islam.

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan anggota parlimen Parit Buntar

Monday 7 December 2015

Mujahid ajak PAS Pulau Pinang: Debatlah kalau berani


Tindakan PAS Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa disifatkan sebagai "tidak budiman" (gentleman).

Menurut Mujahid, tindakan PAS negeri juga melambangkan parti berkenaan tidak mampu menghadapi isu berkenaan secara bersemuka.

“Mereka berselindung di sebalik laporan polis tanpa bersedia untuk berdebat dengan saya (mengenai) perkara asas yang saya sebutkan (sehingga) melahirkan fahaman ekstrem," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mujahid sebelum ini didakwa membuat kenyataan mengaitkan PAS dengan pemikiran gerakan pelampau seperti Negara Islam (IS) dan al-Maunah.

Ekoran dakwaan itu PAS Pulau Pinang meminta Mujahid - juga Naib Presiden AMANAH - menarik balik kenyataan yang dibuatnya.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata kenyataan Mujahid berniat jahat kerana PAS terlibat mempromosikan demokrasi dan keamanan sejak ditubuhkan pada 1960-an.

Mengulas lanjut, Naib Presiden AMANAH itu berkata PAS Pulau Pinang sekadar berselindung di sebalik laporan polis dan tidak bersedia berdebat bagi mendapatkan kebenaran mengenai isu berkenaan.

“Mereka (PAS) gagal memahami jalur pemikiran ekstrem yang berpunca daripada perspektif ideologikal,” tegas Mujahid.

Jelas bekas timbalan pesuruhjaya Pulau Pinang itu lagi laporan polis tersebut seolah-olah mengisyaratkan PAS negeri tidak bersedia bersama masyarakat antarabangsa untuk memerangi keganasan.

Katanya, keganasan lahir daripada penularan tanpa sedar fahaman agama melalui pentafsiran secara tekstual dan bukan kontekstual.

Justeru, Mujahid mengajak PAS Pulau Pinang berdebat dengannya - jika berani - dan bersama rakyat menentang esktremisme.

HAJI HADI, PAS DAN SYIAH



1982 Dewan Pemuda PAS yang mempelopori kepimpinan ulamak telah melawat Iran secara rasmi, rombongan disertai oleh Haji Subki Latif (S/U DPP Pusat), Ustaz Abu Bakar Chik dan Ustaz Suhaimi Hj Ahmad (rujuk penyata tahunan Dewan Pemuda PAS 1981-1982).

Jun 1982 sekali lagi Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan lawatan ke Iran diketuai oleh Mustafa Ali dan Mohd.Rusdi Arif (rujuk penyata tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat 1981-1982).

1985 dalam satu taklimat tertutop Haji Hadi bagi tahu boleh beriktikad dan beramal dengan Syiah Ja'fari dan Zaidiah.

Selepas Imam Khomeini meninggal dunia antara lain Haji Hadi berkata "Imam Khomeini adalah seorang pemimpin Islam Gerakan Tajdid di awal abad ke-15 hijrah" (Jun 1989)

Haji Hadi Awang Presiden PAS menulis dalam Harakah Bil.1854 bertarikh 21-23 Jun 2013 antara lain Haji Hadi menulis "Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar As-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah (yang beribukan salah seorang daripada zuriat Abu Bakar Al-Siddiq r.a.) Semua para ulamak yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umaiyah dan Abbasiyah dan mendukung sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan"
"Akibat asyik dengan pertikaian Sunni-Syiah,umat Islam terlupa musuh utamanya ialah Israil serta kuasa2 besar dunia. Secara sedar tapi bodoh dan jahil, isu perbalahan mazhab telah melekakan umat Islam tentang kebangkitan Islam di seluruh dunia, tegas Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kontroversi Sunni-Syiah perkara lama yang sengaja ditimbulkan. Pengaruh Syiah dalam masyarakat Melayu bukan perkara baru tetapi sejak kedatangan Islam ratusan tahun lalu, ia patut dibincang oleh ahli2 ilmu" (Harakah 23-25 Ogos 2013 Bil.1870).

Bekas Naib Presiden PAS Ustaz Nakhaie Hj Ahmad mengesahkan majlis syuro ulamak berasal dari Iran dan dia yang merangka pindaan perlembagaan parti. (Sinar Harian 7.10.2013)

Majlis Dialog Pemuda PAS dengan Haji Hadi (Presiden PAS Pusat) di Baling Pada 5.4.2014 antara lain Haji Hadi kata;
"dalam Syiah ada lebih kurang 30 hingga 40 mazhab, ada syiah khilaf dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam masalah feqah, tetapi ada yang sama akidah, oleh itu BUKAN KAFIR SEMUANYA."

(Watan Selasa 26-29 November 1985 m/s:14 Wawancara wartawan Watan dengan Haji Hadi) - Haji Hadi adalah perintis syiah dalam PAS sejak 1982.


Hadi paling kerap bertemu ulama Syiah, kata Mat Sabu

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merupakan orang yang paling banyak bertemu ulama Syiah, memandangkan beliau menganggotai Jawatankuasa Takrib Minal Mazhab (Merapatkan Hubungan Antara Mazhab) yang diasaskan Iran. 

Tindakan sesetengah pihak melabelkan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai Syiah hanya kerana mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari golongan itu, harus ditolak, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Ini kerana, katanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merupakan orang yang paling banyak bertemu ulama Syiah, memandangkan beliau menganggotai Jawatankuasa Takrib Bainal Mazahib (Merapatkan Hubungan Antara Mazhab) yang diasaskan Iran.



Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, di kalangan tokoh PAS, Hadi paling kerap bertemu ulama Syiah terutama ulama besar Iran, Ayatollah Mohammad Ali Taskhiri.
"Hadi mempunyai hubungan yang baik dengan Tashkiri, bahkan Ali Khamenei (Sayyed Ali Hosseini Khamenei, pemimpin utama Iran)," kata bekas timbalan presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.

"Mereka sering bertemu di majlis terbuka dan juga majlis tertutup. Tiada pula orang tuduh Hadi sebagai Syiah," kata Mat Sabu.

Beliau menjawab kenyataan yang melabelkan penasihat utama Amanah, Ahmad Awang dan timbalannya Abdul Ghani Shamsudin, sebagai Syiah, kerana dikatakan sering bertemu ulama daripada kumpulan itu.

Tuduhan itu dibuat sesetengah pihak berdasarkan gambar kedua-duanya bersama ulama Syiah baru-baru ini.

Mat Sabu berkata, Hadi sekurang-kurangnya akan bertemu dengan pemimpin Syiah Iran setahun sekali untuk bermesyuarat.

"Ketika dalam PAS, saya pernah bersama (Hadi). Bahkan Nasrudin Hassan (ketua penerangan PAS) juga kadang-kadang mengiringi presiden PAS itu ke sana.



"Selain wakil PAS, ulama dari Ikhwanul Muslimin juga ada," kata Mat Sabu.

Selain Takrib, Hadi juga bertemu ulama Syiah dalam Jawatankuasa Palestin yang juga dianjurkan Iran dan mengadakan persidangannya di Tehran.

Menurut Mat Sabu, beliau sudah lali dengan pelbagai tuduhan, termasuk sebagai Syiah dan juga bapa komunis, ekoran pertemuan beliau dengan pemimpin mereka.

"Ada yang tuduh saya bapa komunis hanya kerana saya jumpa Rashid Maidin dan membela Mat Indera. Ini tak betul," katanya merujuk bekas pemimpin komunis.

"Kita boleh kritik presiden PAS kerana kenyataan dia, pendapat dia dan seumpamanya, bukan kerana dia bertemu dengan siapa, dan terus menghukumnya," kata Mat Sabu

Saturday 5 December 2015

Azmin digesa ikut jejak Guan Eng sisih Pas, kata Pasma

Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sepatutnya tegas dengan pendirian dan resolusi yang telah dipersetujui antara parti komponen Pakatan Harapan.

GEORGE TOWN
Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) menggesa kerajaan negeri Selangor supaya mengikut jejak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang tegas menyisihkan Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas parti itu enggan menganggotai Pakatan Harapan.

Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sepatutnya tegas dengan pendirian dan resolusi yang telah dipersetujui antara parti komponen Pakatan Harapan.

“Beliau (Mohamed Azmin) perlu buat keputusan sama seperti di Pulau Pinang iaitu tidak perlu kekalkan Pas dalam kerajaan negeri yang diterajuinya itu.

“Mungkin Mohamed Azmin masih kekalkan Pas dalam pentadbirannya kerana beliau mahu memujuk parti Islam itu menganggotai Pakatan Harapan, tetapi saya percaya mereka (Pas) tidak akan bersetuju,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Pasma juga bersedia untuk mengemukakan nama anggotanya untuk memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan termasuk pelantikan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri(JKKKN).

Katanya, sebelum ini di Pulau Pinang seramai 1,083 anggota JKKKN dari parti Pas telah meletak jawatan dan Pasma bersedia dilantik sekiranya kerajaan negeri menghendaki mereka.

Pemimpin Pas Kelantan jangan takbur- Husam Musa

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata sikap dalaman manusia yang takabur dan sikap itu perlu dibuang sekiranya mahu kekal di Kelantan. Foto KelantanTV
KOTA BHARU, 5 Disember:

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengingatkan pemimpin Pas di Kelantan supaya jangan terlalu takbur dalam ucapan ceramah dengan memberitahu bahawa Pas adalah sebuah parti yang kuat dan sudah lama dalam arena politik negara.

Beliau berkata, ada pemimpin negeri yang seolah-olah mengatakan parti lain tidak kuat sambil merujuk kepada dakwaan mengatakan parti Amanah adalah parti beg poli, sebelum ini.

Malah, katanya, pendekatan seperti itu bukan amalan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dahulu.

“Saya mahu ingatkan diri sendiri dan iaitu kita kena ingat kata-kata Tok Guru apabila beliau memberitahu Pas Kelantan kuat tetapi tidak cukup kuat.

“Seperti di Kedah kita terlalu kuat tetapi tidak menang. Di Terengganu terlalu kuat sehingga kalah semula selepas menang seketika,” katanya.

Katanya, di Kelantan memang kuat tetapi kena juga berpakat dengan orang lain seperti mana dalam mesyuarat dahulu apabila Tok Guru mengatakan `galah kita panjang tetapi tidak cukup tiga inci untuk ambil buat kelapa’.

Jelasnya, perkara ini berkaitan sikap dalaman manusia yang takbur dan sikap itu perlu dibuang sekiranya mahu kekal di Kelantan.

“Di Kelantan kena ingat kita menang dulu bukan sebab Pas kuat tapi kita tambah dengan kekuatan org lain
termasuk kita dengan bukan Islam dan inilah yang mahu ditunjukkan oleh (Allahyarham) Tok Guru Nik Aziz.

“Umno dulu guna MIC dan MCA sebagai tongkat mereka selain parti-parti lain.

“Kalau Pas nak berjaya di Malaysia parti ini juga kena banyak tongkat. Kita patahkan tongkat Umno dan kita ambil alih untuk kita pula,” katanya dalam ucapan pelancaran buku Peringatan Orang Terpedaya di Dewan PPK, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Husam berkata, sekarang ini ada kedengaran bahawa Pas seolah-olah sedang `bercinta’ dengan Umno, sambil merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Muhamad Abduh Nik Aziz yang mengatakan bahawa Umno sekarang ini memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

“Dahulunya kata macam lain…Umno macam tu lah..macam nilah. Kalau betul sepatutnya gunakanlah peluang itu kepentingan rakyat termasuk memberi tawaran kepada semua guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan beri jawatan tetapi dan berpencen,” katanya.

Tuesday 1 December 2015

Amanah ditubuh kerana PAS diresapi pemikiran Isis, kata Mat Sabu

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa siasatan terperinci berhubung penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya ‘takfiri’ dalam PAS.


Mohamad Sabu mendedahkan di antara punca Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan kerana bekas partinya PAS sudah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).


Beliau yang juga presiden kepada Amanah menuntut agar siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya “takfiri” dalam PAS.

"Saya sebagai presiden Amanah menuntut satu kajian serius dibuat Polis Cawangan Khas (SB) kerana ia bahaya kepada keselamatan negara Malaysia," kata Mohamad dalam wawancara bersama The Malaysian Insider merujuk kepada pemikiran Isis dalam PAS.

Budaya takfiri merujuk kepada tindakan mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan. Menurut pandangan takfiri, mereka yang “dikafirkan” halal darahnya untuk dibunuh.
Mohamad juga mengesyaki terdapat badan lain yang membawa masuk pemikiran Isis sehingga tidak disedari pemimpin PAS sendiri.

"Adakah polis Malaysia tidak dapat mengesan perkara ini atau ada konspirasi bersama?

"Adakah fahaman ini masuk begitu saja atau ada badan lain menyusunnya," kata Mohamad yang bimbang ia dirancang musuh-musuh PAS sehingga parti Islam itu berpecah sebagaimana sekarang.

Pemimpin PAS sokong Isis

Mohamad berkata, budaya ini bukan saja bahaya kepada PAS bahkan juga menjadi bom jangka kepada keselamatan negara.

Bekas pemimpin PAS, Lotfi Ariffin (dua dari kanan) yang menyertai perjuangan di Syria dan terkorban di sana -
Misalnya kami dalam PAS sebelum ini tidak pernah diberitahu tentang pemergian sesetengah pemimpin pertengahan dalam PAS ke Syria dan Iraq untuk berjuang di sana.

"Tahu-tahu kami dengar ada ahli PAS berada di Syria dan mengangkat senjata di sana dan kemudiannya timbul cerita Ustaz Lotfi meninggal di sana," katanya merujuk kepada kematian bekas pemimpin PAS, Lotfi Ariffin di Syria.

Beliau menyebut, antara yang menulis dan memberikan sokongan awal kepada Lotfi selepas terbunuh ialah Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Jawatankuasa Pusat Zaharudin Muhammad.

Hadi tolak budaya takfiri

Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tidak bersetuju dengan pendekatan takfiri ini.

"Apakah ia berlaku di luar kawalan beliau atau macam mana?" soalnya.

Mohamad dan pemimpin progresif PAS tewas secara berkumpulan dalam muktamar ke-61 di Kuala Selangor pertengahan tahun lalu menyebabkan Amanah dibentuk.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan tidak pernah bersetuju dengan pendekatan takfiri dan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia berlaku di luar kawalan beliau.
Beberapa tahun sebelum pemilihan, Mohamad dan kumpulannya dilabelkan sebagai kumpulan yang tidak mahu kepada Islam tulen yang dibawa PAS dan dilabel liberal, sekular, sosialis, Syiah dan sebagainya.

Mohamad menceritakan, budaya takfiri mula dikesan beliau menular dalam PAS sejak 4 hingga 5 tahun lalu.

"Kecenderungan takfiri di dalam PAS sejak 4 hingga 5 tahun lalu menyebabkan lahirnya budaya label melabel yang cukup negatif kepada PAS," kata Mohamad.

Mohmad memberi contoh, 3 bekas pemimpin kanan PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mohamed Hanipa Maidin dilabel sebagai liberal sehingga kerja baik dan usaha mereka dalam parti Islam itu tidak dihargai lagi.

Tak kecil hati kalah pemilihan

Mohamad berkata, beliau sudah banyak kali kalah dalam pemilihan PAS tetapi tidak pernah berkecil hati kerana itu adat perlawanan.

"Saya pernah kalah kepada Abu Bakar Chik untuk jawatan ketua Pemuda. Saya pernah kalah kepada Datuk Hasan Ali dan Nasharudin (Mat Isa) tetapi saya tidak kisah kerana perbandingan dibuat berdasarkan prestasi dan keupayaan antara kami.

"Tetapi saya dan rakan-rakan kalah kali ini kerana budaya label dan takfiri. Misalnya liberal, sekular, sosialis dan sebagainya.

"Label ini sangat bahaya sebenarnya kerana ia membawa makna akidahnya sudah rosak dan segala kerja baik kita untuk Islam tidak berguna lagi," kata Mohamad dengan nada sedih.

Katanya, ini mengakibatkan pemimpin yang tidak disenangi kumpulan takfiri tewas dalam muktamar PAS lalu.

"Budaya ini bukan terhenti setakat itu bahkan ia nampak semakin kuat sekarang.

“Saya ikuti kuliah-kuliah ustaz yang disebarkan melalui WhatsApp, ia semakin kuat.

"Dari situlah juga lahirnya label mereka yang menyertai Amanah ini sebagai pengkhianat dan haram menyertai Amanah," kata Mohamad. – 1 Disember, 2015.

Monday 30 November 2015

Persoalan Ekstrimisme Dan Budaya ‘Takfiri’ - Khalid Samad



Persoalan Ekstrimisme Dan Budaya ‘Takfiri’

MUQADDIMAH

Baru-baru ini YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa telah mengeluarkan kenyataan bersama YB Dato Raja Kamarul Bahrin berhubung masalah ekstrimisme. Dalam kenyataan tersebut Mujahid dan Raja Bahrin telah berusaha menjelaskan bahawa antara punca utama ekstrimisme adalah sikap ‘hanya kami betul, yang lain sesat’. Ini seterusnya membawa kepada budaya ‘takfiri’ ia itu menghukum dengan menyatakan kumpulan atau orang ini terkeluar dari Islam. Hasil dari itu maka akan menular sikap dan tindakan ekstrim sehingga menghalalkan penumpahan darah dan mungkin membawa kepada pembunuhan terhadap golongan yang berbeza pandangan.

Kenyataan mereka ini dispin sehingga ditokok tambah dengan apa yang tidak dinyatakan beliau. Tujuan di sebalik usaha spin ini ialah supaya isu yang ditimbulkan mereka berdua ditenggelamkan dan apa yang tidak dinyatakan sebaliknya menjadi isu perbahasan.

Saya ingin membawa balik perbincangan kepada apa yang telah dinyatakan Dr. Mujahid dan Raja Bahrin, dan bukan tokok tambah yang dibuat pihak lain. Pihak lain ini telah mensasarkan Dr. Mujahid dan oleh itu tulisan saya seterusnya menyebut Dr. Mujahid sahaja.

KESINAMBUNGAN USAHA ALMARHUM TG YUSUF RAWA

Saya melihat kenyataan Dr. Mujahid sebagai satu usaha untuk menghalang timbulnya kembali budaya takfiri yang pernah satu ketika dahulu menghantui gerakan Islam di Malaysia. Oleh itu usaha beliau bukan sebagai satu usaha memperlekehkan Almarhum ayahnya sendiri, seperti yang didakwa melalui media sosial; tetapi sebaliknya mempunyai kesinambungan terhadap usaha Almarhum.

Budaya ‘takfiri’ ini merupakan budaya yang telah mula bertapak di kalangan masyarakat Melayu satu ketika dahulu sehingga membawa bermacam-macam masalah dan angkara. Budaya ini telah dapat dikekang dan ditangani pengaruhnya hasil usaha gigih pimpinan PAS yang muncul bersama ‘kepimpinan Ulama’ pada tahun 1982.

Kumpulan ulama’ yang menerajui kepimpinan baru ini pada ketika itu terdiri dari Almarhum TG Yusuf Rawa, Almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor, Almarhum Ust Hassan Shukri, Almarhum Ust Yahya Othman, Ust Abdul Hadi Awang, Ust Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Mereka telah berjaya memperjelaskan usaha sebenar perjuangan Islam sebagai satu usaha memberi penerangan berhubung Islam sambil menyeru manusia kepadanya. Ia bukan usaha untuk menghukum manusia sebagai kafir, munafik, fasik atau sebagainya. Antara ungkapan yang dimasyhurkan pada ketika itu adalah “Duat laa Qhuda” atau “(kami) Duat bukan Qadhi”. Duat adalah plural kepada Da’i atau pendakwah.

Turut juga dipopularkan konsep “Muwajjahah Silmiyah” atau “berhadapan (dengan masyarakat) secara damai”. Adunan dua konsep ini, iaitu ‘Duat Laa Qhuda’ dan ‘Muwajjahah Silmiyah’ adalah antara rahsia kejayaan PAS meletakkan dirinya di arus politik perdana mulai tahun akhir 80an. Ia adalah juga rahsia kejayaan PAS membendung munculnya ekstrimisme dalam PAS sendiri.

KESAN PENOLAKAN PENDEKATAN ‘TAKFIRI’

Melalui penolakan pendekatan takfiri ini dan kepimpinan yang jelas fikrah mereka serta berhikmah, maka budaya takfiri dapat dibendung PAS dari terus menguasai gerakan Islam di Malaysia. Bagi PAS, ini telah membuka jalan kepada pendekatan yang lebih inklusif, saling berkerjasama antara kumpulan gerakan Islam dan parti politik pembangkang lain. Malahan, kerjasama dengan golongan bukan Islam juga dimulakan dengan adanya engagement atau perhubungan dengan persatuan pendidik dan guru-guru Sekolah Cina serta aktivis masyarakat berbangsa Cina yang lain sehingga terbentuknya Chinese Consultative Council (CCC). Ini semua berlaku dengan pesatnya pada pertengahan 80an.

Penolakan pendekatan menghukum dan takfiri ini juga telah memungkinkan usaha bersama Semangat 46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (1990), Reformasi melalui Gerak (1998), Barisan Alternatif (1999) dan seterusnya Pakatan Rakyat (2008 - 2015).

Oleh itu usaha untuk menghalang timbulnya kembali budaya menghukum dan takfiri seharusnya dialu-alukan dan tidak dibantah melalui penyebaran maklumat yang keliru dan mengelirukan.

SPIN DAN SERANGAN PERIBADI TERHADAP DR. MUJAHID

Malangnya kenyataan Dr. Mujahaid dispin sehingga dikatakan ianya kutukan terhadap usaha ayahnya sendiri. Ditambah lagi bahawa ianya kutukan terhadap golongan Syuhada’ Memali. Ditambah lagi bahawa kononnya ia mengaitkan PAS dengan Al-Maaunah dan sebagainya!

Sedangkan kenyataan beliau langsung tidak menyentuh peristiwa-peristiwa tersebut! Dan sikap Dr. Mujahid terhadap syuhada’ Memali adalah sepertimana sikap Almarhum ayahnya, bahawa mereka adalah mangsa politik rakus UMNO/BN dan mereka telah gugur sebagai syuhada’. Mereka dibunuh dalam keadaan diserang dan bukan menyerang, terus berada dalam rumah mempertahankan diri dan hak mereka.

Begitu juga difitnahkan bahawa Dr. Mujahid hanya memanjangkan agenda Amerika kerana agenda ekstrimis adalah agenda Amerika! Adakah mereka menafikan wujudnya masalah ekstrimis ini? Sedangkan apa yang dimaksudkan sebagai agenda Amerika adalah bahawa Amerika sebenarnya disebalik golongan ekstrimis ini supaya imej Islam tercemar dan sentiasa kelihatan ganas! Maka penolakan pendekatan ekstrimis adalah penolakan agenda Amerika bukan memanjangkannya.

Dan berbagai lagi serangan peribadi yang dilemparkan terhadap Dr. Mujahid semata-mata kerana beliau ingin menghalang timbulnya kembali budaya menghukum dan takfiri yang pernah ditentang PAS satu ketika dahulu. Dan sememangnya ianya dilihat seolah-olah ingin ditimbulkan kembali dengan kecenderungan menghukun sebagai fasik, munafik dan sebagainya kebelakangan ini.

Kalau tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan Dr. Mujahid sekalipun, nyatakan apa yang tidak dipersetujui, dengan hujah, tidak perlu dilakukan fitnah atau‘character asassination’ atau menyerang peribadi beliau.

Saya tidak berhajat untuk menjawab setiap satu dari fitnah tersebut kerana usaha sedemikian akan mencapai tujuan dan matlamat golongan pemfitnah. Sememangnya mereka ingin supaya perbahasan diselewengkan dari persoalan asal.

Saya hanya ingin menegaskan bahawa budaya menghukum dan takfiri yang ingin dihalang Dr. Mujahid perlu disambut baik oleh semua ummat Islam dan bersama memikul bertanggung-jawab untuk menentukan bahawa ianya tidak kembali mempengaruhi masyarakat Islam Malaysia. Jika tidak, maka bahaya kemunculan IS seperti yang disebut Dr. Mujahid akan menjadi satu realiti di Malaysia, naudzubillahi min dzaalik.

KESIMPULAN

Islam merupakan agama yang meraikan perbezaan pendapat. Asalkan ianya bukan isu yang menyentuh persoalan aqeedah, maka perbezaan pandangan ini wajar dibahas dalam suasana ukhuwwah dan saling menghormati. Masing-masing mempunyai hujah dan setiap hujah ada asasnya. Akhirnya kebenaran hujah akan terbukti melalui pengamalannya.

Kecenderungan untuk mengaitkan semua persoalan ummat Islam dengan aqeedah, walaupun tiada kena-mengena dengan aqeedah, akan menghasilkan sikap yang keras atau syadid dan mendatangkan masalah ‘takfiri’. Para sahabat sendiri pernah berbeza pandangan dengan Nabi (SAW) atas persoalan urusan dunia dan Nabi tidak mengkafirkan mereka atas sebab berbeza pandangan dengan Baginda. Atau menuduh mereka menghinanya kerana berbeza pandangan. Ada kalanya Nabi mengakui kebenaran pandangan sahabat dan adakalanya sebaliknya.

Jika berbeza pandangan dengan Nabi sendiri, atas soalan urusan keduniaan, yang tidak ada hukum yang jelas mengenainya, tidak dianggap menghina atau derhaka kepada Nabi oleh Nabi sendiri, bagaimana ianya boleh dianggap sebaliknya apabila berbeza dengan manusia lain. Walaupun manusia itu ‘ulama besar dunia’ sekalipun.

Oleh itu biarlah pendekatan kita lebih terbuka, jangan menghukum dan mengkafirkan dengan semudah itu. Supaya trend ke arah ekstrimisme ini dibendung dan perbezaan pandangan dihargai dan dibincang dengan baik dan waras. Supaya akhirnya ummat Islam ini dapat maju ke hadapan tanpa dimomok ketakutan yang diada-adakan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Ramai Penyokong Iringi Husam mengadap PAS PUSAT



100 penyokong iringi Husam mengadap PAS pusat

Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini hadir ke ibu pejabat parti itu untuk mengadap Dewan Harian PAS Pusat untuk memberi penjelasan berhubung teguran beliau antaranya melibatkan pentadbiran kerajaan Kelantan.

Beliau yang hadir sekitar jam 1.50 petang, turut ditemani lebih 100 penyokong beliau yang datang dari Kubang Kerian dan kawasan DUN Salor.

Malaysiakini juga turut difahamkan kesemua mereka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.30 pagi tadi, semata-mata mahu memberi sokongan kepada ADUN Salor itu merangkap yang dipertua PAS Kubang Kerian.

Husam sebelum ini memaklumkan beliau akan mengadap jawatankuasa tersebut - pada hari ini - sekembalinya dari China.

Beberapa penyokong tegar bekas pemimpin PAS itu yang ditemuiMalaysiakini yakin bahawa ADUN Salor itu tidak bersalah.

Shamsul Bahri Daud, 50, (kopiah hitam) dari Kubang Kerian berkata beliau menyokong penuh tindakan bekas exco kanan Kelantan itu hanya mahu membawa kebenaran dalam politik.

"Saya menyokong sepenuhnya Datuk Husam kerana dia membawa kebenaran dalam politik.

"Kita tak nak parti PAS berpecah kerana ada unsur-unsur lain dan saya yakin Datuk Husam adalah benar sebab dia berkeyakinan penuh dia adalah seorang yang benar.

"Saya kenal beliau," katanya ketika ditemui di luar perkarangan ibu pejabat PAS.

Sokongan padu terhadap bekas pemimpin kanan PAS itu turut dikongsikan bersama Mohd Rosli Ibrahim, 55, dari DUN Salor.

"Kami akan ikut dia dan itu pendirian kami, kami memang 100 peratus di belakang Husam," tegasnya sambil melaungkan takbir ‘Allahuakbar’.

Sementara itu, Ahmad Mohammad, 50, dari penyokong dari Parlimen Kubang Kerian pula berkata apa pun tindakan yang bakal diambil kepada pemimpin itu mereka tetap menyokong Husam.

"Kita hadir untuk berikan sokongan dan beri penghormatan. Tidak ada apa-apa, dia (kalau Husam dilucutkan jawatan) dan kami sokong dia terus berjuang," kata Ahmad.

Mereka juga ditanya sama ada akan turut serta bersama Husam jika pemimpin itu menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Saya menyokong sebarang kebenaran yang dibawa oleh Datuk Husam," kata Shamsul Bahri yang turut disokong oleh Mohd Rosli.

Sebelum ini Dewan Harian PAS Pusat Rabu lalu memberi tempoh 30 November hingga 6 Disember ini kepada Husam untuk memberi penjelasan antaranya berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan

Sunday 29 November 2015

Seloka Gurindam Jiwa - PASUNMO


Kisah hubungan sulit percintaan PAS dan UMNO.
Rupa-rupanya urat-mengurat anta PAS dgn UMNO sudah lama berlaku sejak TGNA masih ada cuma secara sulit dan sembunyi. Kadang2 main ketuk2 botol mcm cerita P. Ramlee.
Oleh sebab ayahanda tua masih ada.. maka pasangan ini (PAS n UMNO) tak beranilah nak menjalinkan hubungan mesra apatah lagi nak berpantun seloka atau nak bertandang dan berjumpa di Taman Inderaloka..
Tapi sekarang ini mereka lebih berani sebab ayahanda tua sudah tiada.....
Maka UMNO dan PAS pun berpantun berseloka...
Umno:
Kalau padi katakan padi,
Tidak kami tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak kami ternanti-nanti.
PAS:
Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa kami serahkan.
Umno:
Siput pahit dimasak cuka,
Siput mentarang tepi perigi,
Dalam sulit kita berjumpa,
Takkan sekarang tak berani lagi ?
PAS:
Nasi lemak buah bidara,
Batang selasih kami lurutkan,
Buang kawan buang saudara,
Kerana Mu Umno kami turutkan.
UMNO:
Naik bahtera ke Tanjung Sepat,
Pasang lukah ikan tenggiri,
Dalam gua menumbuk lada.
Datang segera istiharlah cepat,
Kita nikah sebulan lagi,
Penghalang tua sudah tiada.
PAS:
Cempedak tidak nangka pun tidak,
Buah langsat dari seberang,
Makan tidak tidur pun tidak,
Duduk teringat Umno seorang.
Kalau tidak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Jika tidak kerana tuan,
Tidaklah kami jadi begini.
Umno dan PAS serentak.....
Ha....apa tunggu lagi hei...
Menikah laaaa..

Nukilan 
Ahmad Dhuha Sobri

Jawatan ketua menteri perlu atas pilihan ahli



GEORGETOWN - Seorang perwakilan meminta jawatan Ketua Menteri diberikan kepada pengerusi DAP jika jawatan itu diberikan kepada parti itu.

Wakil Cawangan Taman Chai Leng, Shamser Singh Thind berkata, jawatankuasa pusat (CEC) dan jawatankuasa negeri seharusnya mensyaratkan jawatan ketua menteri diberikan kepada individu yang dilantik sebagai pengerusi DAP negeri.

Beliau berkata, sekiranya jawatan itu diberikan kepada parti DAP, maka ia harus diserahkan kepada pengerusi DAP negeri dan bukan yang lain.

"Ini penting kerana mandat untuk menerajui kerajaan negeri mesti diberikan kepada pemimpin yang diberi kepercayaan oleh akar umbi.

“Sistem pemilihan ahli jawatankuasa negeri harus diubah kerana tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada akar umbi untuk memilih pemimpin mereka seperti yang dilakukan semasa pemilihan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy)," katanya ketika berucap pada perbahasan di Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2015 hari ini.

Sebagai contoh, beliau berkata, majoriti wakil parti memilih Gobind Singh Deo di Selangor tetapi Tony Pua yang berada di tangga kelapan pula dipilih sebagai pengerusi. Perkara yang sama juga berlaku di Perak,”

Shamser yang juga peguam turut mempersoalkan tindakan Adun Pakatan Harapan yang menyokong Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan 2014) untuk menaikkan gaji bulanan wakil rakyat yang dibuat BN.

“Saya juga merujuk kepada usul yang dibuat seorang Adun BN berhubung penambakan laut di sidang Dun tempoh hari. Ketika itu, lima Adun PKR berpendirian berkecuali dan seorang Adun DAP menyokong. Perkara ini tidak disenangi terutama ketua menteri.

“Memang benar, Adun Pakatan Harapan tidak boleh menyokong atau berkecuali terhadap usul Adun BN namun yang menjadi persoalannya, mengapa tiada seorang pun Adun Pakatan Harapan menolak apabila Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 untuk menaikkan gaji bulanan wakil rakyat dibuat BN?” katanya.

Sementara itu, Lim Cheng Hoe dari Cawangan Sri Tanjung turut meminta agar jawatan ketua menteri diberikan kepada kepimpinan tertinggi DAP negeri.

“Dalam pemilihan kali ini, saya rasa tidak perlu ikut sistem sedia ada. Jawatan ketua menteri seharusnya diberikan kepada pemimpin yang memenangi jawatan pengerusi DAP negeri.

“Kita perlu ubah sistem yang ada sekarang kerana ia mengambil masa yang panjang untuk memilih untuk mengisi jawatan ketua menteri,” katanya.

Mat Sabu yakin ahli Amanah cecah 100,000 akhir tahun

Mohamad Sabu merasmikan pejabat Amanah di Kuala Lumpur . Bekas timbalan presiden PAS itu yakin parti baharu itu akan mencecah 100,000 keahlian menjelang akhir tahun in


29 November, 2015.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yakin parti berusia 3 bulan itu akan berjaya mendaftarkan 100,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu menambah, terdapat permintaan tinggi daripada orang Islam terutamanya golongan profesional dan aktivis sosial untuk parti seperti Amanah yang bersifat Islamik tetapi inklusif.

Amanah ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang menggelar diri mereka “progresif”, dan terdiri daripada pemimpin dan ahli Parlimen terkenal. Mengambil contoh Kelantan yang mengejutkan pemimpin Amanah, Mat Sabu berkata mereka menerima sokongan hebat walaupun negeri itu kubu kuat PAS.

Beliau mendakwa sokongan orang ramai terhadap Amanah di Kelantan setanding dengan PAS dan Umno.

"Mengikut kajian kami, kedudukan di Kelantan sekarang sudah jadi 30:30:30:10 iaitu di antara Amanah, PAS, Umno, atas pagar atau lain-lain," katanya dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider.

Harum manis subur dalam PAS

Mohamad turut memetik kajian Ilham Centre yang mengatakan 15% ahli PAS di Kelantan sudah menyertai Amanah.

Menurut Ilham Centre, 35% lagi ahli masih berada dalam PAS tetapi menjadi “harum manis”.

Menurut Mohamad, tidak mustahil Amanah boleh menjadi parti terkuat dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jangkaan Mohamad ini berdasarkan apa yang beliau dakwa sokongan menyeluruh daripada orang ramai terutamanya golongan profesional Melayu-Islam terhadap parti itu sejak ditubuhkan September lalu.

"Dengan gelombang dan peningkatan yang ada yang jauh lebih besar daripada apa yang kami usahakan, saya yakin ini akan terjadi," katanya.
Amanah ditubuhkan selepas pemimpin progresif PAS ditolak dalam pemilihan tahun ini.

"Ketika kami bertemu buat pertama kali di Johor, kami ada 4 pilihan; kekal dalam PAS, aktif dalam NGO, sertai mana-mana parti Pakatan Rakyat yang ada atau menubuhkan parti baharu.

"Saya pada awalnya mahu menyertai NGO tetapi tolakan dari bawah mahukan kami tubuhkan parti baharu dan keputusan kolektif kami membuat pilihan itu," kata Mohamad merujuk kepada pertemuan pertama mereka di Bakri, Johor 16 Jun lalu.

Buat keputusan secara kolektif

Menurut Mohamad, semua keputusan diputuskan Amanah bersifat kolektif di kalangan pemimpinnya bukan berdasarkan ketaksuban atau kepatuhan kepada mana-mana pemimpin.

Bekas ahli Parlimen 3 penggal itu berkata, kekuatan Amanah kerana disertai pelbagai pihak yang selama ini tidak setuju atau sudah meninggalkan mana-mana parti dalam negara ini di samping anak muda baru mahu berjinak dengan politik.

Selain itu menurut Mohamad, ramai pemimpin pelajar kini menyertai Amanah dan memegang pelbagai jawatan dalam sayap Pemudanya walaupun masih belum tamat pengajian masing-masing.

Sekali lagi mengambil contoh Kelantan, Moahamd berkata hampir kesemua tokoh-tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) profesional yang selama ini aktif di Kelantan tetapi tidak menyertai mana-mana parti kini menyertai Amanah.

Mohamad mengakui, Amanah paling subur di Pantai Barat bermula dari Pulau Pinang, Ipoh sehingga ke Johor Baru tetapi perkembangan di Kelantan amat mengejutkannya.

"Sebelum ini Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Rahim (Wan Abdullah) sudah mengumumkan Amanah tidak akan bertanding kerusi negeri di Kelantan (untuk mengelakkan pertembungan dengan PAS) tetapi dalam pertemuan terakhir saya dengan beliau, Wan Rahim kata ia terpaksa dikaji balik ekoran perkembangan ini,” katanya.

Sunday 22 November 2015

Guan Eng bayang rampasan kuasa dalam PKR P Pinang



Pergeseran antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan lima ADUN PKR, yang tidak mahu menolak satu usul terhadap kerajaan negeri, semakin panas dengan Lim membayangkan rampasan kuasa dalam PKR Pulau Pinang.

Minggu lalu lima wakil rakyat PKR berkecuali daripada mengundi satu usul daripada ADUN Umno yang menggesa ketelusan berhubung projek penambakan laut.

Lebih menyulitkan, Lim kini membayangkan rampasan kuasa dalam PKR Pulau Pinang diketuai ketua whip PKR di Dewan Undangan Negeri Ong Chin Wen.

Ketua menteri pulau mutiara itu mendakwa Ong mensasarkan jawatan timbalan ketua menteri yang kini dipegang oleh ADUN Pantai Jerejak Rashd Hasnon.

"Adakah Ong mahu menjadi timbalan ketua menteri yang baru? Adakah beliau mahu mencabar Rashid bagi jawatan itu? Kami tidak dimaklumkan," kata Lim di sambutan rumah terbuka Deepavali Air Putih malam ini.

"Kami hanya mengetahui Rashid, dan ini adalah pendirian kami, kerana kami cukap jelas mengenainya.

"Kami tidak boleh ada dua harimau atas bukit yang sama - seorang Rahid, seorang lagi Ong (Chin Wen). Saya bersama 'harimau' Rashid, bukan Ong," kata Lim.

Ketika dihubungi , Ong enggan mengulas mengenainya.

'Kenapa S'gor tak iktiraf Pakatan Harapan?'




Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong meluahkan rasa kesal bahawa kerajaan Selangor tidak mengiktiraf secara rasmi gabungan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan.

Beliau yang tidak mempertahankan jawatan itu berkata keadaan itu seolah-olah tindakan bekas anggota PAS yang berjuang mempertahankan Pakatan Rakyat, tidak dihargai.

"Mereka (bekas ahli PAS, anggota AMANAH) meninggalkan PAS kerana prisip yang kuat dan jelas. Jadi ia menjadi tanggungjawab PKR dan DAP untuk mempertahan dan memantu mereka," kata Teo dalam ucapan dasar Konvensyen Pemuda DAP Kebangsaan (Dapsy) di Serdang hari ini.

PKR, DAP dan PAS adalah anggota gabungan pembangkang Pakatan Rakyat tetapi gabungan itu berpecah selepas DAP dan PAS bertelingkah berhubung isu hudud.

PKR dan DAP kemudiannya membentuk Pakatan Harapan bersama Parti Amanah Negara yang dilancarkan pada September dan ia termasuk bekas pemimpin PAS yang tidak berpuas hati dengan pemilihan parti yang menyaksikan kumpulan konsevatif menyapu bersih kepimpinan tertinggi.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata Pakatan Harapan tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri dan ia rancangan untuk pilihan raya umum ke-14

Azmin: Tak perlu Pakatan Harapan di S'gor



Menteri Besar Azmin Ali berkata tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang sebab senario politik di kedua-dua negeri berbeza.

Timbalan Presiden PKR itu berkata mesyuarat majlis tertinggi PKR dua minggu lepas telahpun meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti di Pulau Pinang sebab senario politik berbeza.

"Kita telahpun meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan PAS, Parti Sosialis Malaysia dan semua parti pembangkang di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini.

Mohamed Azmin diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi yang meminta kerajaan negeri Selangor membentuk Pakatan Harapan dengan segera di negeri itu.

Phahrolrazi dilapor berkata penubuhan Pakatan Harapan, membabitkan Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP di Selangor, merupakan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Menurutnya, penubuhan Pakatan Harapan itu tidak akan menggugat kedudukan kerajaan negeri Selangor kerana majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri dikuasai PKR dan DAP.

- Bernama

Saturday 21 November 2015

AMK PP gesa CM tarik tuduhan 'memihak kepada Umno'



Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menarik balik tuduhan bahawa lima ADUN PKR di negeri itu "memihak kepada Umno".

Ia ekoran sikap berkecuali wakil rakyat PKR itu berhubung isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar di muara Sungai Pinang.

Dalam satu kenyataan, sayap PKR itu turut mendesak Lim yang juga setiausaha agung DAP supaya memohon maaf kepada lima wakil PKR itu di atas ketelanjuran membuat tuduhan terbabit.

Mereka juga menyuarakan kecewa dengan tuduhan yang "tidak wajar dan tidak berasas" yang dikeluarkan oleh ketua kerajaan kepada ADUN yang menyokong kepimpinan beliau sejak 2008.

"Keputusan untuk tidak mengundi pada usul isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk sewenang- wenangnya menuduh ADUN PKR memihak kepada Umno.

"Lima ADUN PKR yang mempunyai pandangan berbeza dan menyatakan pendirian untuk berkecuali sewaktu undian dijalankan perlu dihormati.

"Mereka juga bukan semata-mata perlu menjadi boneka DAP walaupun ADUN PKR adalah sebahagian daripada organisasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang," kata AMK Pulau Pinang.

Semalam dilaporkan Lim berkata PKR mesti "menilai dengan teliti" keputusan lima ADUN parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian dalam usul dikemukakan pembangkang di DUN kelmarin.

Sidang DUN Pulau Pinang membincangkan usul kontroversi yang dikemukakan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengenai isu tebus guna tanah itu berhampiran muara Sungai Pinang yang akan menyebabkan hidupan laut terancam dan menjejaskan kehidupan nelayan.

Selepas dibahaskan, usul itu diundi dan akhirnya ditolak apabila ia hanya mendapat lapan undi sokongan, manakala 22 lagi menolak. Lima Adun PKR pula bersikap berkecuali.

Lim anggap 5 Adun PKR memihak Umno



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata PKR mesti "menilai dengan teliti" keputusan lima Adun parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian dalam usul dikemukakan pembangkang di DUN malam semalam.

Berdasarkan pendirian itu, kata Lim, persepsi kini ialah wakil rakyat PKR itu "bersama Umno".

Bagaimanapun, kata Lim, pihaknya akan membiarkan PKR sendiri menguruskan isu berkenaan.

Ditanya sama ada beliau akan bercakap dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai perkara itu, Lim menjelaskan: "Saya akan jelaskan kepada beliau (Dr Wan Azizah)".

Lim bercakap kepada media dalam sidang akhbarnya di George Town hari ini.

Semalam DUN Pulau Pinang membincangkan usul kontroversi dikemukakan Adun Muhammad Farid Saad (BN - Pulau Betong) mengenai isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar berhampiran muara Sungai Pinang.

Menurut pembangkang, pembangunan di kawasan itu akan menyebabkan hidupan laut terancam kerana habitatnya terhapus, selain menjejaskan kehidupan kira-kira 500 nelayan di kawasan berkenaan.

Selepas dibahaskan, usul itu diundi dan akhirnya ditolak apabila ia hanya mendapat lapan undi sokongan, manakala 22 lagi menolak.

Lima Adun PKR pula bersikap berkecuali.

Pengundian juga menjadi perhatian apabila salah seorang Adun DAP, Teh Yee Cheu (Tanjung Bungah) yang dikenali sebagai aktivis alam sekitar turut mengundi menyokong usul berkenaan.

Dua lagi Adun PKR, Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana masing-masing menjadi speaker dan timbalan speaker.

Wednesday 18 November 2015

MP Kepong leka tonton TV, terlepas undi

MP Kepong leka tonton TV, terlepas undi

Wakil tunggal DAP yang gagal hadir di parlimen ketika undian Bajet 2016 dibuat pada Isnin lalu, Tan Seng Giaw (Kepong) memberitahu dia terlepas sesi itu kerana terleka menonton televisyen yang menyiarkan laporan lintas langsung mengenai serangan pengganas di Paris.

Kata ahli parlimen veteran itu, akibat laporan lintas langsung itu dia tersilap membuat perkiraan mengenai masa undian.

"Saya terlambat. Saya pergi selepas menerima satu panggilan telefon," katanya.

Apabila tiba di parlimen, Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat (PAS) memberitahu proses undian sudah berlangsung.

Kata Tan, dia tidak berniat untuk melepaskan proses undian itu dan mengakui ia sangat penting kepadanya.

Walaupun begitu Tan yang mewakili Kepong sejak 1982 itu berkata, laporan insiden serangan pengganas di Paris itu "lebih penting" kerana ia membabitkan hubungan antara AS dan Russia dalam usaha mereka memerangi militan Negara Islam (IS).

"Saya di luar. Saya menonton televisyen. Saya melihat (Presiden AS) Barack Obama bercakap mengenai serangan Paris di Antalya, Turki. Ada pengumuman penting di situ.

"Ia penting kerana memberi kesan kepada kita, (dan) melihat kaedah yang akan digunakan.

"Itu lebih penting daripada ini (mengundi bajet) kerana kita akan mengadakan Sidang Kemuncak Asean," katanya

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...