Search This Blog

Saturday 21 November 2015

AMK PP gesa CM tarik tuduhan 'memihak kepada Umno'



Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menarik balik tuduhan bahawa lima ADUN PKR di negeri itu "memihak kepada Umno".

Ia ekoran sikap berkecuali wakil rakyat PKR itu berhubung isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar di muara Sungai Pinang.

Dalam satu kenyataan, sayap PKR itu turut mendesak Lim yang juga setiausaha agung DAP supaya memohon maaf kepada lima wakil PKR itu di atas ketelanjuran membuat tuduhan terbabit.

Mereka juga menyuarakan kecewa dengan tuduhan yang "tidak wajar dan tidak berasas" yang dikeluarkan oleh ketua kerajaan kepada ADUN yang menyokong kepimpinan beliau sejak 2008.

"Keputusan untuk tidak mengundi pada usul isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk sewenang- wenangnya menuduh ADUN PKR memihak kepada Umno.

"Lima ADUN PKR yang mempunyai pandangan berbeza dan menyatakan pendirian untuk berkecuali sewaktu undian dijalankan perlu dihormati.

"Mereka juga bukan semata-mata perlu menjadi boneka DAP walaupun ADUN PKR adalah sebahagian daripada organisasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang," kata AMK Pulau Pinang.

Semalam dilaporkan Lim berkata PKR mesti "menilai dengan teliti" keputusan lima ADUN parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian dalam usul dikemukakan pembangkang di DUN kelmarin.

Sidang DUN Pulau Pinang membincangkan usul kontroversi yang dikemukakan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengenai isu tebus guna tanah itu berhampiran muara Sungai Pinang yang akan menyebabkan hidupan laut terancam dan menjejaskan kehidupan nelayan.

Selepas dibahaskan, usul itu diundi dan akhirnya ditolak apabila ia hanya mendapat lapan undi sokongan, manakala 22 lagi menolak. Lima Adun PKR pula bersikap berkecuali.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...