Search This Blog

Friday 28 August 2015

Sultan beri amaran keras pada 2 ahli politik Umno



Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini memberi amaran keras kepada dua ahli politik Umno.

Baginda “menasihatkan” ahli politik, khususnya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat supaya tidak campur urusan istana atau membuat kenyataan mengaitkan istana.

Sultan Ibrahim juga memberi amaran keras kepada menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang sebelum ini memberi amaran untuk “membelasah” Tengku Mahkota Johor (TMJ) jika baginda campur tangan dalam politik.

“Ada juga pemimpin kerajaan yang langsung tidak beradab apabila bercakap, dengan melabelkan orang lain sebagai orang gila; dan lebih teruk lagi dengan angkuh dan sombong hendak “whack” anakanda saya (TMJ).

“Adakah pemimpin seperti ini patut dihormati? Ingatlah pepatah Melayu sering menyebut “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Pertelingkahan Nazri dan TMJ tercetus selepas anakanda sultan Johor memperli kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke majlis dialog terus terang #Nothing2Hide berkaitan isu 1MDB di Kuala Lumpur.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook rasmi pasukan bola sepak negeri Johor Southern Tigers.

Tengku Putra pula sebelum ini dilaporkan berkata, amaran Tunku Ismail kepada ahli politik yang cuba mendekati ayahandanya untuk kepentingan peribadi. patut juga dinyatakan kepada golongan taikun perniagaan negeri.

Sementara itu, dalam ucapan sama, baginda juga bertitah tidak akan mencampuri urusan mana-mana parti politik.

Titah baginda, walaupun banyak pemimpin politik yang datang berjumpa, baginda hanya mendengar cerita mereka dan tidak akan memihak kepada mana-mana parti atau individu.

“Apa yang saya pentingkan adalah kesejahteraan hidup rakyat saya dan kemakmuran negeri Johor mesti dijaga melalui perpaduan dan pengukuhan muafakat bangsa Johor,” titah baginda.

Timbalan Muhyiddin Yassin sebelum ini mengadap baginda selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri, yang dispekulasikan beliau mendapat dukungan istana.

Kurang dari 24 jam, Kerajaan haramkan baju BERSIH 4


Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan warta kerajaan melarang pemakaian "apa-apa pakaian berwarna kuning" dan yang mengandungi perkataan "Bersih 4" berkuatkuasa hari ini.
Perintah itu juga melarang apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpinan itu.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi. Ia disiarkan di laman web Pejabat Peguam Negara.
Larangan dalam Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 22) 2015 menyebut:
"Percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam Jadual yang mungkin memudaratkan keselamatan, yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan yang mungkin memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia."
Sebanyak 35,000 baju rasmi BERSIH 4 terjual yang menyumbang pendapatan sebanyak RM700,000 kepada gabungan NGO itu.
Perhimpunan tersebut akan diadakan selama 34 jam bermula esok di tiga kota besar - Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
Perintah ini dibuat bawah seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Di bawah Seksyen 7 (1) undang-undang, menteri mempunyai budi bicara mutlak melalui perintah yang disiarkan dalam warta untuk melarang apa-apa bahan dianggap prejudical ketenteraman awam, moral, keselamatan atau akan ALAM pendapat umum.
Dalam reaksi segeranya, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata tiada salah bagi rakyat dan aktivis memakai baju T kuning BERSIH.
"Saya mahu kata tiada apa-apa kesalahan pun memakai baju T Bersih," katanya.
"Kami tidak akan turun ke jalan untuk menentang kerajaan tetapi sebaliknya untuk menuntut pembaharuan. Kami mahu Malaysia maju.
"Dengan turun (ke himpunan itu), kami menuntut kerajaan membetulkan keadaan politik dan ekonomi semakin teruk, jadi semuanya akan kembali di landasan yang betul.

Konsep kepimpinan ulama sekat pemimpin berkarisma




ROMPIN – Konsep kepimpinan ulama yang menjadi Pas selama ini perlu ditukar kepada konsep kepimpinan Islam kerana jika ia terus digunapakai akan berlaku perpecahan manakala menjadikan ulama seolah pemilik Pas.

Demikian luahan Ketua Penyelaras Harapan Baru Pahang, Dr Hamzah Jaafar sambil menegaskan konsep berkenaan juga menyekat pemimpin lain yang mempunyai karisma tetapi tidak boleh naik dalam kepimpinan parti kerana bukan seorang ulama.

“Perkara ini telah saya suarakan dalam muktamar pada tahun 2009 yang ketika itu saya mewakili Pas Pahang meramalkan perpecahan itu akan berlaku. Pada tahun ini ramalan yang saya buat itu betul-betul berlaku apabila golongan yang buat kerja atau profesional ini semua gugur.

“Ia dirancang dengan begitu tersusun hingga (G18) tidak lekat langsung jawatan dalam muktamar baru-baru ini. Pemimpin dalam Islam tidak terikat dengan ulama sebaliknya dengan kebijaksanaan dan takwa,” katanya dalam Forum ‘Apakah Dan Mengapa Harapan Baru?’ anjuran Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM) yang diadakan di Rompin Beach Resort (RBR) malam tadi.

Turut hadir sebagai panel forum Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan bekas pimpinan Pemuda Pas Johor, Mohd Azam Razak  yang turut dihadiri kira-kira 100 tetamu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan terdapat satu lagi ramalan yang menjadi intipati ucapannya dalam muktamar pada tahun 2009 itu iaitu pertembungan golongan ulama dalam Pas juga akan berlaku.

Menurutnya, ulama dalam Pas juga terdiri daripada tiga golongan masing-masing ulama dari timur tengah, ulama dari gugusan India dan ulama dari univerisiti tempatan yang bakal meletakkan parti bukan dalam keadaan yang baik serta tidak selamat.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemunculan Harapan Baru dengan asas yang cantik namun pendekatan perlu diubah mirip kepada parti AKP Turki yang kini telah berjaya memerintah negara yang dikenali sebagai sekular itu selama 13 tahun.

“AKP Turki juga merupakan parti serpihan dan pemimpinnya juga pada awal perpecahan turut dihukum pemimpin parti lamanya sebagai munafik.

Keadaannya kurang lebih sama dengan Harapan Baru tetapi AKP Turki telah membuktikan mereka kekal memerintah hingga kini,” katanya.

17 Pemuda Pas Sri Gading letak jawatan



JOHOR BAHRU - Susulan peletakan jawatan 19 jawatankuasa Pas Kawasan Sri Gading, dua hari lalu, tindakan yang sama diambil jawatankuasa Pemuda, semalam.
 
Seramai 17 kepimpinan pemuda kawasan sesi 2015/2017 tersebut melepaskan jawatan masing-masing yang diketuai Ketuanya, Noorazrin Sakib.
 
Beliau turut menyandang jawatan selaku Ketua Lajnah Politik dan Organinasi berbuat demikian kira-kira jam 10.20 malam tadi di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Pt. Yaani. “Dengan ini pada tanggal 27 Ogos 2015 pada jam 10.20 malam, kami dari sebahagian ahli jawatan kuasa pemuda Pas kawasan Sri Gading telah meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.
 
“Bersama kami sebahagian dari ketua dan ahli jawatankuasa pemuda cawangan-cawangan,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Noorazrin yang mewakili rakan seperjuangan yang lain turut memohon maaf atas kekurangan dan kelemahan sepanjang memegang kepimpinan Pemuda.
 
“Semoga ukhwah yang kita bina selama ini subur hingga akhirnya dan mendapat rahmat,” katanya.
 
Turut mengambil keputusan yang sama, Timbalan Ketua Pemuda merangkap Pengerusi Jabatan Pilihanraya Pemuda, Ahsanuddin Saja dan Naib Ketuanya yang juga Ketua Pemuda Cawangan Panchor, Khairulnizam Abd Manaf bersama 14 yang lain.

Harapan Baru ambil alih pejabat Pas Jelebu

Muhammed Zabidi (dua dari kanan), Zulkefly dan Mohamad Taufek bersama ahli jawatankuasa Pas Jelebu yang sertai Harapan Baru.



JELEBU - Seramai 24 orang daripada 28 Ahli Jawatankuasa termasuk ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kawasan itu  mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Sehubungan itu, Pejabat Pas kawasan itu ditutup dan akan menjadi pejabat operasi Harapan Baru kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Harapan Baru Jelebu, Muhammed Zabidi Abdullah berkata, mereka akan menghantar surat perletakan jawatan kepada Pas Pusat minggu depan dan keahlian mereka juga akan terlucut selepas menyertai parti baharu.

"Setakat ini kita telah menerima keahlian seramai 180 orang dan dijangka akan lebih ramai lagi penyertaan.

"Kita menjangkakan seramai 500 keahlian Harapan Baru sehingga hujung tahun ini,"katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam‎.

Hadir sama, Pengerusi Harapan Baru Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan, Muhamad Taufek Abdul Ghani.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pas sekarang yang membiarkan 'mungkar fitnah' berleluasa semasa pemilihan di dalam Muktamar Ke-61 lalu.

Wednesday 26 August 2015

Harapan Baru jemput Muhyiddin sertai Bersih 4.0

Ketua Anak Muda Harapan Baru, Mohd Sanny Hamzan memasukkan surat jemputan ke dalam peti surat ditemani oleh Naib Ketuanya, Shazni Munir di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini. 


KUALA LUMPUR - Hasrat Anak Muda Harapan Baru untuk menyampaikan sendiri undangan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai himpunan Bersih 4.0 Sabtu dan Ahad ini tidak kesampaian.

Ketuanya, Mohd Sanny Hamzan bersama Naib Ketuanya Shazni Munir tiba di kediaman Muhyiddin kira-kira jam 11.30 pagi namun akhirnya terpaksa mengambil keputusan memasukkan surat jemputan ke dalam peti surat rumah Timbalan Presiden Umno itu.

Difahamkan, Muhyiddin tiada di rumah sewaktu ketibaan mereka.

"Sebagai bekas TPM kami percaya bahawa Tan Sri mempunyai rasa  untuk menyelamatkan negara ini, malah lebih penting rakyat menunggu seorang bekas TPM supaya tampil  berani untuk keluar meperjuangkan masa depan rakyat," kata Shazni  kepada pemberita yang setia menanti di luar kediaman Muhyiddin, di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Sementara itu menurut Mohd Sanny, keyakinan mereka terhadap Muhyiddin dalam mendepani nasib rakyat telah menyebabkan mereka tampil untuk menjemput Muhyiddin.

"Muhyiddin yang kini Timbalan Umno, punyai integriti moral yang tinggi dan berani sebab itu masyarakat harap Tan Sri hadir  dalam himpunan Bersih," katanya.

‎Dalam pada itu, Mohd Sanny berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa himpunan kali ini akan diadakan dalam keadaan aman.

‎"Kita dah sebutkan bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, perhimpunan yang mengikut perlembagaan.

‎"Oleh itu , kita akan pastikan perhimpunan ini tenang dan aman, kerana Sekretariat Bersih juga sudah ada langkah-langkah yang akan diambil  dan pendekatan bagi membolehkan himpunan itu dijalankan dengan baik,

"Untuk pengetahuan semua, Harapan Baru juga sudah ada satu NGO yang dinamakan Arif, satu pertubuhan kita telah daftarkan, dan penyertaan 500 orang bersama-sama menjaga kelancaran lalu lintas, keselamatan, dibantu teman-taman kita dalam  AMK, akan sendiri turun, dan wakil Dapsy sebanyak 500 orang akan  turun pada  29,30, ini," katanya.

Dalam pada itu ujarnya, pihaknya sudah memberikan arahan kepada ahlinya seluruh negara agar turun ke himpunan itu dan berharap tiada mana-mana pihak yang cuba merosakkan himpunan itu.

"Kalau boleh nak ramai, menyelamatkan ekonomi, itu tuntutan kita, jadi kita harap semua pihak bersama-sama, sebab kita tidak mahu rosakkan apa-apa, kita tidak mahu cetuskan perkara tidak baik, yang kita hendak selamatkan adalah negara kita Malaysia, bukan Mongolia‎," katanya.

Terdahulu Mohd Sanny dan Shazni memberitahu bahawa mereka telah memaklumkan tujuan kehadiran mereka ke kediaman Muhyiddin terlebih dahulu.

"Kami ‎telah  berhubung dengan pegawai Muhyiddin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), maklum nak hantar surat jemputan minggu lepas lagi.

"Maklum balas yang diterima positif namun kalau Muhyiddin tidak hadir terpulanglah kepada beliau," katanya

Kumpulan pelajar anti-Najib direman tiga hari


Seramai 17 orang pelajar dan aktivis yang ditangkap semalam akan direman tiga hari di Pusat Tahanan Polis Jinjang di ibu negara bermula petang ini.
Peguam pemerhati Steven Thiru berkata polis akan menyiasat mereka bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan dan Akta Perhimpunan Aman.
Katanya polis memohon untuk reman tujuh hari tetapi majistret hanya meluluskan tiga hari.
Steven, presiden Majlis Peguam, hadir bagi pihak majlis itu untuk memerhati kes itu.
Steven berkata pihak peguam akan memohon kepada mahkamah tinggi pada hari ini untuk semakan terhadap keputusan majistret ini.
"Peguam kita mengemukakan bantahan reman yang kuat, polis memohon tujuh hari reman tetapi majistret membenarkan tiga hari.
“Maka hari ini, esok dan mereka sepatutnya akan dibebaskan pada hari Jumaat," katanya.
Katanya, pihak peguamnya berpendapat bahawa polis telah salah faham terhadap peruntukan seksyen yang digunakan untuk menahan pelajar itu.
"Polis tidak dapat menunjukkan bukti (peserta) ada sebarang tindakan keganasan. Mereka juga tidak dapat membuktikan apa-apa tindakan (peserta) yang tidak mengikuti perlembagaan," katanya.
Kumpulan itu ditangkap semalam setelah dua hari berhimpun depan parlimen bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan susulan kontroversi 1MDB dan masalah ekonomi.
Mereka pada mulanya berazam tinggal di situ sehingga mendapat jawapan perdana menteri sendiri.

Kit Siang, pemimpin DAP semalaman di BERSIH 4



Dengan diketuai ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pemimpin DAP akan tinggal semalaman dengan peserta BERSIH 4 hujung minggu ini.
Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan menghadiri perhimpunan tersebut tetapi tidak akan bermalam di situ kerana beliau akan menghadiri satu majlis rasmi di Pulau Pinang pada 30 Ogos.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke berkata parti itu juga akan menggerakkan 10,000 anggota untuk menghadiri perhimpunan selama 34 jam itu yang bermula Sabtu ini.
Tujuan utama perhimpunan ini adalah untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

GHB: Rampas KITA? Dia mengigau ke?

Gerakan Harapan Baru (GHB), menafikan dakwaan akan mengambil alih Parti Kesejahteraan Tanah Air (KITA).

Setiausaha GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil alih parti yang sebelum ini diasaskan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim itu.

"Kami (GHB) tak cakap pun akan ambil parti KITA. Jadi tak ada apa-apa saya nak komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hari ini, Setiausaha Agung parti KITA Azmi Othman dilapor membuat laporan polis kerana mendakwa ada pihak tertentu cuba mengambil alih parti tersebut.

The Star Online melaporkan, Azmi mendakwa ada orang luar yang kini mendakwa dirinya sebagai presiden baru parti KITA, namun enggan menamakan individu terbabit.

“Saya mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila ada dakwaan yang mengatakan GHB berhasrat ambil alih parti KITA.

"Tetapi tidak seorang pun daripada mereka yang hendak ambil alih parti pernah menghubungi ketua kami Masrum Dayat atau saya," Azmi dilaporkan sebagai berkata.



Jawapan ROS

Harian berbahasa Inggeris itu juga melaporkan ROS mengesahkan GHB tidak mengemukakan apa-apa permohonan untuk menubuhkan parti baru.

Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Azmi, Dzulkefly berkata ia hak beliau untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, kata Dzulkefly, KITA tidak akan "dicuri" memandangkan tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat antara GHB dan jawatankuasa parti berkenaan.

"Kalau dia seorang setiausaha, dia mesti bawa perkara ini berbincang dengan jawatankuasa pusat dia. Kalau dia bertindak sorang-sorang seperti dia seorang sahaja yang memiliki parti, pada kami, biar dia selesaikan masalah rumah tangga dia dulu.

"Apa yang disebut Azmi itu ialah kerana dia terlalu gusar, takut, cemas sebab apa yang sebetulnya, parti itu tidak akan dicuri orang kalau tiada perbincangan rasmi dalam jawatankuasa pusat mereka," katanya.

Dzulkefly berkata lagi, berdasarkan kenyataan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang tidak menerima permohonan bagi menubuh parti baru oleh GHB, jelas menunjukkan Azmi sedang “mengigau”.

"Kalau benar nak ambil, tentu ROS dah beritahu. Dia itu mengigau ke? Jadi saya tak mahu komen apa-apa kerana kita tak ada urusan rasmi antara organisasi dan organisasi pun.

"Malang kalau dia sebagai setiausaha bercakap dengan media seperti menunjukkan bahawa parti itu tidur dan tak ada buat apa-apa kerana sebagai sebuah parti, ia perlu hidup dengan pelbagai kegiatan dan aktiviti," ujar Dzulkefly lagi.

PAS S'gor digesa bersikap matang, tidak angkuh

Jamzuri Ardani 


Gerakan Harapan Baru (GHB) membidas tindakan PAS Selangor menolak rundingan berhubung pembahagian kerusi di negeri itu dianggap "pra-matang dan tidak melambangkan kebijaksanaan" sejajar dengan usia parti Islam itu.

Pengarah Komunikasi GHB Selangor Jamzuri Ardani berkata kenyataan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman bahawa PAS negeri itu enggan berkompromi disifatkan sebagai "politik angkuh dan usang" yang tidak relevan dengan tuntutan semasa.

"Dinamika politik negara bergerak cepat dan rakyat bakal menerima kesannya, baik atau buruk. Pemimpin politik perlu bersikap lebih bertanggungjawab dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, mengatasi kepentingan dan ego kelompok.

"Gabungan pembangkang mesti diperkukuh melalui muafakat dan rundingan bagi terus mendokong harapan rakyat yang mahu melihat gabungan politik alternatif yang kuat dan bersatu," katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Semalam Mohd Khairuddin dilapor berkata PAS Selangor tidak akan beri laluan jika GHB mahu turut bertanding di kawasan yang ditandingi calon PAS dalam pilihan raya umum akan datang dan meminta GHB lebih baik bertanding di kerusi yang tidak ditandingi calon PAS.

GHB yang bakal mengumumkan penubuhan parti Islam baru pada 31 Ogos ini. Mereka dijangka akan bekerjasama dengan PKR dan DAP bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0 bagi untuk menyertai pilihan raya.

Jika perkara itu menjadi kenyataan, mereka bakal berdepan dengan pertembungan tiga penjuru antara PAS dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

PAS kini menguasai 15 kerusi daripada 56 kerusi DUN dan empat kerusi parlimen.

Dalam kenyataannya, Jamzuri berkata parti Islam baru akan meletakkan calon untuk bertanding berasaskan muafakat bersama gabungan baru pembangkang, kajian, keupayaan parti, kecenderungan pengundi, dan perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Keputusan yang bakal diambil akan meletakkan kepentingan rakyat sebagai faktor utama.

"Gerakan Harapan Baru tetap percaya bahawa muafakat politik adalah kunci penting membina negara yang berupaya membela rakyat, menyebarkan kebaikan, dan mendapat redha Allah," katanya.

Tuesday 25 August 2015

Perhimpunan Bersih 4.0 Tidak Terjejas Tanpa PAS - Mat Sabu


SHAH ALAM: Gerakan Harapan Baru (GHB) menyifatkan sambutan terhadap perhimpunan Bersih 4.0 tidak akan terjejas walaupun PAS tidak mengerahkan ahlinya menyertai himpunan itu pada hujung minggu ini.
Pengerusi GHB, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu bagaimanapun berkata, beliau percaya ahli PAS akan menyertai perhimpunan berkenaan kerana melibatkan isu rakyat.
"Tidak terjejas bahkan saya yakin ahli PAS juga akan bersama dalam himpunan itu, Bersih adalah isu rakyat... tidak kira parti politik semua akan turun.
"InsyaAllah, akan berlaku satu perhimpunan aman," katanya pada sidang media mengenai Bersih 4.0 di pejabat GHB di sini, Selasa.
Turut hadir, Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dr Dzulkefly Ahmad.
Pada Isnin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak akan mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini.
Sebaliknya kata Takiyuddin, PAS akan menghantar wakil ke perhimpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada tuntutan Bersih terutama dalam aspek sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil.
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, GHB akan mengarahkan 500 sukarelawan gerakan itu yang akan bertugas pada hari itu bersama Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Beliau menambah, GHB bersama Bersih memberi jaminan bahawa perhimpunan kali ini akan diadakan secara aman tanpa sebarang keganasan.
"Kita akan bersama Bersih. Bersih kata teruskan, kita teruskan (sertai himpunan). Kita adakan perhimpunan dengan tangan kosong, tanpa senjata. Kita menolak segala bentuk keganasan.
"Saya rasa polis akan ada pertimbangan. Saya yakin mereka akan bertugas dengan baik," katanya berharap perhimpunan Bersih akan berada dalam keadaan terkawal.
Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak memenuhi syarat notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...