Search This Blog

Wednesday 26 August 2015

PAS S'gor digesa bersikap matang, tidak angkuh

Jamzuri Ardani 


Gerakan Harapan Baru (GHB) membidas tindakan PAS Selangor menolak rundingan berhubung pembahagian kerusi di negeri itu dianggap "pra-matang dan tidak melambangkan kebijaksanaan" sejajar dengan usia parti Islam itu.

Pengarah Komunikasi GHB Selangor Jamzuri Ardani berkata kenyataan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman bahawa PAS negeri itu enggan berkompromi disifatkan sebagai "politik angkuh dan usang" yang tidak relevan dengan tuntutan semasa.

"Dinamika politik negara bergerak cepat dan rakyat bakal menerima kesannya, baik atau buruk. Pemimpin politik perlu bersikap lebih bertanggungjawab dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, mengatasi kepentingan dan ego kelompok.

"Gabungan pembangkang mesti diperkukuh melalui muafakat dan rundingan bagi terus mendokong harapan rakyat yang mahu melihat gabungan politik alternatif yang kuat dan bersatu," katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Semalam Mohd Khairuddin dilapor berkata PAS Selangor tidak akan beri laluan jika GHB mahu turut bertanding di kawasan yang ditandingi calon PAS dalam pilihan raya umum akan datang dan meminta GHB lebih baik bertanding di kerusi yang tidak ditandingi calon PAS.

GHB yang bakal mengumumkan penubuhan parti Islam baru pada 31 Ogos ini. Mereka dijangka akan bekerjasama dengan PKR dan DAP bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0 bagi untuk menyertai pilihan raya.

Jika perkara itu menjadi kenyataan, mereka bakal berdepan dengan pertembungan tiga penjuru antara PAS dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

PAS kini menguasai 15 kerusi daripada 56 kerusi DUN dan empat kerusi parlimen.

Dalam kenyataannya, Jamzuri berkata parti Islam baru akan meletakkan calon untuk bertanding berasaskan muafakat bersama gabungan baru pembangkang, kajian, keupayaan parti, kecenderungan pengundi, dan perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Keputusan yang bakal diambil akan meletakkan kepentingan rakyat sebagai faktor utama.

"Gerakan Harapan Baru tetap percaya bahawa muafakat politik adalah kunci penting membina negara yang berupaya membela rakyat, menyebarkan kebaikan, dan mendapat redha Allah," katanya.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...