Search This Blog

Saturday 5 December 2015

Azmin digesa ikut jejak Guan Eng sisih Pas, kata Pasma

Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sepatutnya tegas dengan pendirian dan resolusi yang telah dipersetujui antara parti komponen Pakatan Harapan.

GEORGE TOWN
Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) menggesa kerajaan negeri Selangor supaya mengikut jejak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang tegas menyisihkan Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas parti itu enggan menganggotai Pakatan Harapan.

Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sepatutnya tegas dengan pendirian dan resolusi yang telah dipersetujui antara parti komponen Pakatan Harapan.

“Beliau (Mohamed Azmin) perlu buat keputusan sama seperti di Pulau Pinang iaitu tidak perlu kekalkan Pas dalam kerajaan negeri yang diterajuinya itu.

“Mungkin Mohamed Azmin masih kekalkan Pas dalam pentadbirannya kerana beliau mahu memujuk parti Islam itu menganggotai Pakatan Harapan, tetapi saya percaya mereka (Pas) tidak akan bersetuju,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Pasma juga bersedia untuk mengemukakan nama anggotanya untuk memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan termasuk pelantikan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri(JKKKN).

Katanya, sebelum ini di Pulau Pinang seramai 1,083 anggota JKKKN dari parti Pas telah meletak jawatan dan Pasma bersedia dilantik sekiranya kerajaan negeri menghendaki mereka.

Pemimpin Pas Kelantan jangan takbur- Husam Musa

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata sikap dalaman manusia yang takabur dan sikap itu perlu dibuang sekiranya mahu kekal di Kelantan. Foto KelantanTV
KOTA BHARU, 5 Disember:

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengingatkan pemimpin Pas di Kelantan supaya jangan terlalu takbur dalam ucapan ceramah dengan memberitahu bahawa Pas adalah sebuah parti yang kuat dan sudah lama dalam arena politik negara.

Beliau berkata, ada pemimpin negeri yang seolah-olah mengatakan parti lain tidak kuat sambil merujuk kepada dakwaan mengatakan parti Amanah adalah parti beg poli, sebelum ini.

Malah, katanya, pendekatan seperti itu bukan amalan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dahulu.

“Saya mahu ingatkan diri sendiri dan iaitu kita kena ingat kata-kata Tok Guru apabila beliau memberitahu Pas Kelantan kuat tetapi tidak cukup kuat.

“Seperti di Kedah kita terlalu kuat tetapi tidak menang. Di Terengganu terlalu kuat sehingga kalah semula selepas menang seketika,” katanya.

Katanya, di Kelantan memang kuat tetapi kena juga berpakat dengan orang lain seperti mana dalam mesyuarat dahulu apabila Tok Guru mengatakan `galah kita panjang tetapi tidak cukup tiga inci untuk ambil buat kelapa’.

Jelasnya, perkara ini berkaitan sikap dalaman manusia yang takbur dan sikap itu perlu dibuang sekiranya mahu kekal di Kelantan.

“Di Kelantan kena ingat kita menang dulu bukan sebab Pas kuat tapi kita tambah dengan kekuatan org lain
termasuk kita dengan bukan Islam dan inilah yang mahu ditunjukkan oleh (Allahyarham) Tok Guru Nik Aziz.

“Umno dulu guna MIC dan MCA sebagai tongkat mereka selain parti-parti lain.

“Kalau Pas nak berjaya di Malaysia parti ini juga kena banyak tongkat. Kita patahkan tongkat Umno dan kita ambil alih untuk kita pula,” katanya dalam ucapan pelancaran buku Peringatan Orang Terpedaya di Dewan PPK, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Husam berkata, sekarang ini ada kedengaran bahawa Pas seolah-olah sedang `bercinta’ dengan Umno, sambil merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Muhamad Abduh Nik Aziz yang mengatakan bahawa Umno sekarang ini memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

“Dahulunya kata macam lain…Umno macam tu lah..macam nilah. Kalau betul sepatutnya gunakanlah peluang itu kepentingan rakyat termasuk memberi tawaran kepada semua guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan beri jawatan tetapi dan berpencen,” katanya.

Tuesday 1 December 2015

Amanah ditubuh kerana PAS diresapi pemikiran Isis, kata Mat Sabu

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa siasatan terperinci berhubung penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya ‘takfiri’ dalam PAS.


Mohamad Sabu mendedahkan di antara punca Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan kerana bekas partinya PAS sudah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).


Beliau yang juga presiden kepada Amanah menuntut agar siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya “takfiri” dalam PAS.

"Saya sebagai presiden Amanah menuntut satu kajian serius dibuat Polis Cawangan Khas (SB) kerana ia bahaya kepada keselamatan negara Malaysia," kata Mohamad dalam wawancara bersama The Malaysian Insider merujuk kepada pemikiran Isis dalam PAS.

Budaya takfiri merujuk kepada tindakan mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan. Menurut pandangan takfiri, mereka yang “dikafirkan” halal darahnya untuk dibunuh.
Mohamad juga mengesyaki terdapat badan lain yang membawa masuk pemikiran Isis sehingga tidak disedari pemimpin PAS sendiri.

"Adakah polis Malaysia tidak dapat mengesan perkara ini atau ada konspirasi bersama?

"Adakah fahaman ini masuk begitu saja atau ada badan lain menyusunnya," kata Mohamad yang bimbang ia dirancang musuh-musuh PAS sehingga parti Islam itu berpecah sebagaimana sekarang.

Pemimpin PAS sokong Isis

Mohamad berkata, budaya ini bukan saja bahaya kepada PAS bahkan juga menjadi bom jangka kepada keselamatan negara.

Bekas pemimpin PAS, Lotfi Ariffin (dua dari kanan) yang menyertai perjuangan di Syria dan terkorban di sana -
Misalnya kami dalam PAS sebelum ini tidak pernah diberitahu tentang pemergian sesetengah pemimpin pertengahan dalam PAS ke Syria dan Iraq untuk berjuang di sana.

"Tahu-tahu kami dengar ada ahli PAS berada di Syria dan mengangkat senjata di sana dan kemudiannya timbul cerita Ustaz Lotfi meninggal di sana," katanya merujuk kepada kematian bekas pemimpin PAS, Lotfi Ariffin di Syria.

Beliau menyebut, antara yang menulis dan memberikan sokongan awal kepada Lotfi selepas terbunuh ialah Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Jawatankuasa Pusat Zaharudin Muhammad.

Hadi tolak budaya takfiri

Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tidak bersetuju dengan pendekatan takfiri ini.

"Apakah ia berlaku di luar kawalan beliau atau macam mana?" soalnya.

Mohamad dan pemimpin progresif PAS tewas secara berkumpulan dalam muktamar ke-61 di Kuala Selangor pertengahan tahun lalu menyebabkan Amanah dibentuk.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan tidak pernah bersetuju dengan pendekatan takfiri dan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia berlaku di luar kawalan beliau.
Beberapa tahun sebelum pemilihan, Mohamad dan kumpulannya dilabelkan sebagai kumpulan yang tidak mahu kepada Islam tulen yang dibawa PAS dan dilabel liberal, sekular, sosialis, Syiah dan sebagainya.

Mohamad menceritakan, budaya takfiri mula dikesan beliau menular dalam PAS sejak 4 hingga 5 tahun lalu.

"Kecenderungan takfiri di dalam PAS sejak 4 hingga 5 tahun lalu menyebabkan lahirnya budaya label melabel yang cukup negatif kepada PAS," kata Mohamad.

Mohmad memberi contoh, 3 bekas pemimpin kanan PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mohamed Hanipa Maidin dilabel sebagai liberal sehingga kerja baik dan usaha mereka dalam parti Islam itu tidak dihargai lagi.

Tak kecil hati kalah pemilihan

Mohamad berkata, beliau sudah banyak kali kalah dalam pemilihan PAS tetapi tidak pernah berkecil hati kerana itu adat perlawanan.

"Saya pernah kalah kepada Abu Bakar Chik untuk jawatan ketua Pemuda. Saya pernah kalah kepada Datuk Hasan Ali dan Nasharudin (Mat Isa) tetapi saya tidak kisah kerana perbandingan dibuat berdasarkan prestasi dan keupayaan antara kami.

"Tetapi saya dan rakan-rakan kalah kali ini kerana budaya label dan takfiri. Misalnya liberal, sekular, sosialis dan sebagainya.

"Label ini sangat bahaya sebenarnya kerana ia membawa makna akidahnya sudah rosak dan segala kerja baik kita untuk Islam tidak berguna lagi," kata Mohamad dengan nada sedih.

Katanya, ini mengakibatkan pemimpin yang tidak disenangi kumpulan takfiri tewas dalam muktamar PAS lalu.

"Budaya ini bukan terhenti setakat itu bahkan ia nampak semakin kuat sekarang.

“Saya ikuti kuliah-kuliah ustaz yang disebarkan melalui WhatsApp, ia semakin kuat.

"Dari situlah juga lahirnya label mereka yang menyertai Amanah ini sebagai pengkhianat dan haram menyertai Amanah," kata Mohamad. – 1 Disember, 2015.

Monday 30 November 2015

Persoalan Ekstrimisme Dan Budaya ‘Takfiri’ - Khalid Samad



Persoalan Ekstrimisme Dan Budaya ‘Takfiri’

MUQADDIMAH

Baru-baru ini YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa telah mengeluarkan kenyataan bersama YB Dato Raja Kamarul Bahrin berhubung masalah ekstrimisme. Dalam kenyataan tersebut Mujahid dan Raja Bahrin telah berusaha menjelaskan bahawa antara punca utama ekstrimisme adalah sikap ‘hanya kami betul, yang lain sesat’. Ini seterusnya membawa kepada budaya ‘takfiri’ ia itu menghukum dengan menyatakan kumpulan atau orang ini terkeluar dari Islam. Hasil dari itu maka akan menular sikap dan tindakan ekstrim sehingga menghalalkan penumpahan darah dan mungkin membawa kepada pembunuhan terhadap golongan yang berbeza pandangan.

Kenyataan mereka ini dispin sehingga ditokok tambah dengan apa yang tidak dinyatakan beliau. Tujuan di sebalik usaha spin ini ialah supaya isu yang ditimbulkan mereka berdua ditenggelamkan dan apa yang tidak dinyatakan sebaliknya menjadi isu perbahasan.

Saya ingin membawa balik perbincangan kepada apa yang telah dinyatakan Dr. Mujahid dan Raja Bahrin, dan bukan tokok tambah yang dibuat pihak lain. Pihak lain ini telah mensasarkan Dr. Mujahid dan oleh itu tulisan saya seterusnya menyebut Dr. Mujahid sahaja.

KESINAMBUNGAN USAHA ALMARHUM TG YUSUF RAWA

Saya melihat kenyataan Dr. Mujahid sebagai satu usaha untuk menghalang timbulnya kembali budaya takfiri yang pernah satu ketika dahulu menghantui gerakan Islam di Malaysia. Oleh itu usaha beliau bukan sebagai satu usaha memperlekehkan Almarhum ayahnya sendiri, seperti yang didakwa melalui media sosial; tetapi sebaliknya mempunyai kesinambungan terhadap usaha Almarhum.

Budaya ‘takfiri’ ini merupakan budaya yang telah mula bertapak di kalangan masyarakat Melayu satu ketika dahulu sehingga membawa bermacam-macam masalah dan angkara. Budaya ini telah dapat dikekang dan ditangani pengaruhnya hasil usaha gigih pimpinan PAS yang muncul bersama ‘kepimpinan Ulama’ pada tahun 1982.

Kumpulan ulama’ yang menerajui kepimpinan baru ini pada ketika itu terdiri dari Almarhum TG Yusuf Rawa, Almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor, Almarhum Ust Hassan Shukri, Almarhum Ust Yahya Othman, Ust Abdul Hadi Awang, Ust Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Mereka telah berjaya memperjelaskan usaha sebenar perjuangan Islam sebagai satu usaha memberi penerangan berhubung Islam sambil menyeru manusia kepadanya. Ia bukan usaha untuk menghukum manusia sebagai kafir, munafik, fasik atau sebagainya. Antara ungkapan yang dimasyhurkan pada ketika itu adalah “Duat laa Qhuda” atau “(kami) Duat bukan Qadhi”. Duat adalah plural kepada Da’i atau pendakwah.

Turut juga dipopularkan konsep “Muwajjahah Silmiyah” atau “berhadapan (dengan masyarakat) secara damai”. Adunan dua konsep ini, iaitu ‘Duat Laa Qhuda’ dan ‘Muwajjahah Silmiyah’ adalah antara rahsia kejayaan PAS meletakkan dirinya di arus politik perdana mulai tahun akhir 80an. Ia adalah juga rahsia kejayaan PAS membendung munculnya ekstrimisme dalam PAS sendiri.

KESAN PENOLAKAN PENDEKATAN ‘TAKFIRI’

Melalui penolakan pendekatan takfiri ini dan kepimpinan yang jelas fikrah mereka serta berhikmah, maka budaya takfiri dapat dibendung PAS dari terus menguasai gerakan Islam di Malaysia. Bagi PAS, ini telah membuka jalan kepada pendekatan yang lebih inklusif, saling berkerjasama antara kumpulan gerakan Islam dan parti politik pembangkang lain. Malahan, kerjasama dengan golongan bukan Islam juga dimulakan dengan adanya engagement atau perhubungan dengan persatuan pendidik dan guru-guru Sekolah Cina serta aktivis masyarakat berbangsa Cina yang lain sehingga terbentuknya Chinese Consultative Council (CCC). Ini semua berlaku dengan pesatnya pada pertengahan 80an.

Penolakan pendekatan menghukum dan takfiri ini juga telah memungkinkan usaha bersama Semangat 46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (1990), Reformasi melalui Gerak (1998), Barisan Alternatif (1999) dan seterusnya Pakatan Rakyat (2008 - 2015).

Oleh itu usaha untuk menghalang timbulnya kembali budaya menghukum dan takfiri seharusnya dialu-alukan dan tidak dibantah melalui penyebaran maklumat yang keliru dan mengelirukan.

SPIN DAN SERANGAN PERIBADI TERHADAP DR. MUJAHID

Malangnya kenyataan Dr. Mujahaid dispin sehingga dikatakan ianya kutukan terhadap usaha ayahnya sendiri. Ditambah lagi bahawa ianya kutukan terhadap golongan Syuhada’ Memali. Ditambah lagi bahawa kononnya ia mengaitkan PAS dengan Al-Maaunah dan sebagainya!

Sedangkan kenyataan beliau langsung tidak menyentuh peristiwa-peristiwa tersebut! Dan sikap Dr. Mujahid terhadap syuhada’ Memali adalah sepertimana sikap Almarhum ayahnya, bahawa mereka adalah mangsa politik rakus UMNO/BN dan mereka telah gugur sebagai syuhada’. Mereka dibunuh dalam keadaan diserang dan bukan menyerang, terus berada dalam rumah mempertahankan diri dan hak mereka.

Begitu juga difitnahkan bahawa Dr. Mujahid hanya memanjangkan agenda Amerika kerana agenda ekstrimis adalah agenda Amerika! Adakah mereka menafikan wujudnya masalah ekstrimis ini? Sedangkan apa yang dimaksudkan sebagai agenda Amerika adalah bahawa Amerika sebenarnya disebalik golongan ekstrimis ini supaya imej Islam tercemar dan sentiasa kelihatan ganas! Maka penolakan pendekatan ekstrimis adalah penolakan agenda Amerika bukan memanjangkannya.

Dan berbagai lagi serangan peribadi yang dilemparkan terhadap Dr. Mujahid semata-mata kerana beliau ingin menghalang timbulnya kembali budaya menghukum dan takfiri yang pernah ditentang PAS satu ketika dahulu. Dan sememangnya ianya dilihat seolah-olah ingin ditimbulkan kembali dengan kecenderungan menghukun sebagai fasik, munafik dan sebagainya kebelakangan ini.

Kalau tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan Dr. Mujahid sekalipun, nyatakan apa yang tidak dipersetujui, dengan hujah, tidak perlu dilakukan fitnah atau‘character asassination’ atau menyerang peribadi beliau.

Saya tidak berhajat untuk menjawab setiap satu dari fitnah tersebut kerana usaha sedemikian akan mencapai tujuan dan matlamat golongan pemfitnah. Sememangnya mereka ingin supaya perbahasan diselewengkan dari persoalan asal.

Saya hanya ingin menegaskan bahawa budaya menghukum dan takfiri yang ingin dihalang Dr. Mujahid perlu disambut baik oleh semua ummat Islam dan bersama memikul bertanggung-jawab untuk menentukan bahawa ianya tidak kembali mempengaruhi masyarakat Islam Malaysia. Jika tidak, maka bahaya kemunculan IS seperti yang disebut Dr. Mujahid akan menjadi satu realiti di Malaysia, naudzubillahi min dzaalik.

KESIMPULAN

Islam merupakan agama yang meraikan perbezaan pendapat. Asalkan ianya bukan isu yang menyentuh persoalan aqeedah, maka perbezaan pandangan ini wajar dibahas dalam suasana ukhuwwah dan saling menghormati. Masing-masing mempunyai hujah dan setiap hujah ada asasnya. Akhirnya kebenaran hujah akan terbukti melalui pengamalannya.

Kecenderungan untuk mengaitkan semua persoalan ummat Islam dengan aqeedah, walaupun tiada kena-mengena dengan aqeedah, akan menghasilkan sikap yang keras atau syadid dan mendatangkan masalah ‘takfiri’. Para sahabat sendiri pernah berbeza pandangan dengan Nabi (SAW) atas persoalan urusan dunia dan Nabi tidak mengkafirkan mereka atas sebab berbeza pandangan dengan Baginda. Atau menuduh mereka menghinanya kerana berbeza pandangan. Ada kalanya Nabi mengakui kebenaran pandangan sahabat dan adakalanya sebaliknya.

Jika berbeza pandangan dengan Nabi sendiri, atas soalan urusan keduniaan, yang tidak ada hukum yang jelas mengenainya, tidak dianggap menghina atau derhaka kepada Nabi oleh Nabi sendiri, bagaimana ianya boleh dianggap sebaliknya apabila berbeza dengan manusia lain. Walaupun manusia itu ‘ulama besar dunia’ sekalipun.

Oleh itu biarlah pendekatan kita lebih terbuka, jangan menghukum dan mengkafirkan dengan semudah itu. Supaya trend ke arah ekstrimisme ini dibendung dan perbezaan pandangan dihargai dan dibincang dengan baik dan waras. Supaya akhirnya ummat Islam ini dapat maju ke hadapan tanpa dimomok ketakutan yang diada-adakan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Ramai Penyokong Iringi Husam mengadap PAS PUSAT



100 penyokong iringi Husam mengadap PAS pusat

Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini hadir ke ibu pejabat parti itu untuk mengadap Dewan Harian PAS Pusat untuk memberi penjelasan berhubung teguran beliau antaranya melibatkan pentadbiran kerajaan Kelantan.

Beliau yang hadir sekitar jam 1.50 petang, turut ditemani lebih 100 penyokong beliau yang datang dari Kubang Kerian dan kawasan DUN Salor.

Malaysiakini juga turut difahamkan kesemua mereka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.30 pagi tadi, semata-mata mahu memberi sokongan kepada ADUN Salor itu merangkap yang dipertua PAS Kubang Kerian.

Husam sebelum ini memaklumkan beliau akan mengadap jawatankuasa tersebut - pada hari ini - sekembalinya dari China.

Beberapa penyokong tegar bekas pemimpin PAS itu yang ditemuiMalaysiakini yakin bahawa ADUN Salor itu tidak bersalah.

Shamsul Bahri Daud, 50, (kopiah hitam) dari Kubang Kerian berkata beliau menyokong penuh tindakan bekas exco kanan Kelantan itu hanya mahu membawa kebenaran dalam politik.

"Saya menyokong sepenuhnya Datuk Husam kerana dia membawa kebenaran dalam politik.

"Kita tak nak parti PAS berpecah kerana ada unsur-unsur lain dan saya yakin Datuk Husam adalah benar sebab dia berkeyakinan penuh dia adalah seorang yang benar.

"Saya kenal beliau," katanya ketika ditemui di luar perkarangan ibu pejabat PAS.

Sokongan padu terhadap bekas pemimpin kanan PAS itu turut dikongsikan bersama Mohd Rosli Ibrahim, 55, dari DUN Salor.

"Kami akan ikut dia dan itu pendirian kami, kami memang 100 peratus di belakang Husam," tegasnya sambil melaungkan takbir ‘Allahuakbar’.

Sementara itu, Ahmad Mohammad, 50, dari penyokong dari Parlimen Kubang Kerian pula berkata apa pun tindakan yang bakal diambil kepada pemimpin itu mereka tetap menyokong Husam.

"Kita hadir untuk berikan sokongan dan beri penghormatan. Tidak ada apa-apa, dia (kalau Husam dilucutkan jawatan) dan kami sokong dia terus berjuang," kata Ahmad.

Mereka juga ditanya sama ada akan turut serta bersama Husam jika pemimpin itu menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Saya menyokong sebarang kebenaran yang dibawa oleh Datuk Husam," kata Shamsul Bahri yang turut disokong oleh Mohd Rosli.

Sebelum ini Dewan Harian PAS Pusat Rabu lalu memberi tempoh 30 November hingga 6 Disember ini kepada Husam untuk memberi penjelasan antaranya berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan

Sunday 29 November 2015

Seloka Gurindam Jiwa - PASUNMO


Kisah hubungan sulit percintaan PAS dan UMNO.
Rupa-rupanya urat-mengurat anta PAS dgn UMNO sudah lama berlaku sejak TGNA masih ada cuma secara sulit dan sembunyi. Kadang2 main ketuk2 botol mcm cerita P. Ramlee.
Oleh sebab ayahanda tua masih ada.. maka pasangan ini (PAS n UMNO) tak beranilah nak menjalinkan hubungan mesra apatah lagi nak berpantun seloka atau nak bertandang dan berjumpa di Taman Inderaloka..
Tapi sekarang ini mereka lebih berani sebab ayahanda tua sudah tiada.....
Maka UMNO dan PAS pun berpantun berseloka...
Umno:
Kalau padi katakan padi,
Tidak kami tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak kami ternanti-nanti.
PAS:
Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa kami serahkan.
Umno:
Siput pahit dimasak cuka,
Siput mentarang tepi perigi,
Dalam sulit kita berjumpa,
Takkan sekarang tak berani lagi ?
PAS:
Nasi lemak buah bidara,
Batang selasih kami lurutkan,
Buang kawan buang saudara,
Kerana Mu Umno kami turutkan.
UMNO:
Naik bahtera ke Tanjung Sepat,
Pasang lukah ikan tenggiri,
Dalam gua menumbuk lada.
Datang segera istiharlah cepat,
Kita nikah sebulan lagi,
Penghalang tua sudah tiada.
PAS:
Cempedak tidak nangka pun tidak,
Buah langsat dari seberang,
Makan tidak tidur pun tidak,
Duduk teringat Umno seorang.
Kalau tidak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Jika tidak kerana tuan,
Tidaklah kami jadi begini.
Umno dan PAS serentak.....
Ha....apa tunggu lagi hei...
Menikah laaaa..

Nukilan 
Ahmad Dhuha Sobri

Jawatan ketua menteri perlu atas pilihan ahli



GEORGETOWN - Seorang perwakilan meminta jawatan Ketua Menteri diberikan kepada pengerusi DAP jika jawatan itu diberikan kepada parti itu.

Wakil Cawangan Taman Chai Leng, Shamser Singh Thind berkata, jawatankuasa pusat (CEC) dan jawatankuasa negeri seharusnya mensyaratkan jawatan ketua menteri diberikan kepada individu yang dilantik sebagai pengerusi DAP negeri.

Beliau berkata, sekiranya jawatan itu diberikan kepada parti DAP, maka ia harus diserahkan kepada pengerusi DAP negeri dan bukan yang lain.

"Ini penting kerana mandat untuk menerajui kerajaan negeri mesti diberikan kepada pemimpin yang diberi kepercayaan oleh akar umbi.

“Sistem pemilihan ahli jawatankuasa negeri harus diubah kerana tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada akar umbi untuk memilih pemimpin mereka seperti yang dilakukan semasa pemilihan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy)," katanya ketika berucap pada perbahasan di Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2015 hari ini.

Sebagai contoh, beliau berkata, majoriti wakil parti memilih Gobind Singh Deo di Selangor tetapi Tony Pua yang berada di tangga kelapan pula dipilih sebagai pengerusi. Perkara yang sama juga berlaku di Perak,”

Shamser yang juga peguam turut mempersoalkan tindakan Adun Pakatan Harapan yang menyokong Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan 2014) untuk menaikkan gaji bulanan wakil rakyat yang dibuat BN.

“Saya juga merujuk kepada usul yang dibuat seorang Adun BN berhubung penambakan laut di sidang Dun tempoh hari. Ketika itu, lima Adun PKR berpendirian berkecuali dan seorang Adun DAP menyokong. Perkara ini tidak disenangi terutama ketua menteri.

“Memang benar, Adun Pakatan Harapan tidak boleh menyokong atau berkecuali terhadap usul Adun BN namun yang menjadi persoalannya, mengapa tiada seorang pun Adun Pakatan Harapan menolak apabila Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 untuk menaikkan gaji bulanan wakil rakyat dibuat BN?” katanya.

Sementara itu, Lim Cheng Hoe dari Cawangan Sri Tanjung turut meminta agar jawatan ketua menteri diberikan kepada kepimpinan tertinggi DAP negeri.

“Dalam pemilihan kali ini, saya rasa tidak perlu ikut sistem sedia ada. Jawatan ketua menteri seharusnya diberikan kepada pemimpin yang memenangi jawatan pengerusi DAP negeri.

“Kita perlu ubah sistem yang ada sekarang kerana ia mengambil masa yang panjang untuk memilih untuk mengisi jawatan ketua menteri,” katanya.

Mat Sabu yakin ahli Amanah cecah 100,000 akhir tahun

Mohamad Sabu merasmikan pejabat Amanah di Kuala Lumpur . Bekas timbalan presiden PAS itu yakin parti baharu itu akan mencecah 100,000 keahlian menjelang akhir tahun in


29 November, 2015.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yakin parti berusia 3 bulan itu akan berjaya mendaftarkan 100,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu menambah, terdapat permintaan tinggi daripada orang Islam terutamanya golongan profesional dan aktivis sosial untuk parti seperti Amanah yang bersifat Islamik tetapi inklusif.

Amanah ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang menggelar diri mereka “progresif”, dan terdiri daripada pemimpin dan ahli Parlimen terkenal. Mengambil contoh Kelantan yang mengejutkan pemimpin Amanah, Mat Sabu berkata mereka menerima sokongan hebat walaupun negeri itu kubu kuat PAS.

Beliau mendakwa sokongan orang ramai terhadap Amanah di Kelantan setanding dengan PAS dan Umno.

"Mengikut kajian kami, kedudukan di Kelantan sekarang sudah jadi 30:30:30:10 iaitu di antara Amanah, PAS, Umno, atas pagar atau lain-lain," katanya dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider.

Harum manis subur dalam PAS

Mohamad turut memetik kajian Ilham Centre yang mengatakan 15% ahli PAS di Kelantan sudah menyertai Amanah.

Menurut Ilham Centre, 35% lagi ahli masih berada dalam PAS tetapi menjadi “harum manis”.

Menurut Mohamad, tidak mustahil Amanah boleh menjadi parti terkuat dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jangkaan Mohamad ini berdasarkan apa yang beliau dakwa sokongan menyeluruh daripada orang ramai terutamanya golongan profesional Melayu-Islam terhadap parti itu sejak ditubuhkan September lalu.

"Dengan gelombang dan peningkatan yang ada yang jauh lebih besar daripada apa yang kami usahakan, saya yakin ini akan terjadi," katanya.
Amanah ditubuhkan selepas pemimpin progresif PAS ditolak dalam pemilihan tahun ini.

"Ketika kami bertemu buat pertama kali di Johor, kami ada 4 pilihan; kekal dalam PAS, aktif dalam NGO, sertai mana-mana parti Pakatan Rakyat yang ada atau menubuhkan parti baharu.

"Saya pada awalnya mahu menyertai NGO tetapi tolakan dari bawah mahukan kami tubuhkan parti baharu dan keputusan kolektif kami membuat pilihan itu," kata Mohamad merujuk kepada pertemuan pertama mereka di Bakri, Johor 16 Jun lalu.

Buat keputusan secara kolektif

Menurut Mohamad, semua keputusan diputuskan Amanah bersifat kolektif di kalangan pemimpinnya bukan berdasarkan ketaksuban atau kepatuhan kepada mana-mana pemimpin.

Bekas ahli Parlimen 3 penggal itu berkata, kekuatan Amanah kerana disertai pelbagai pihak yang selama ini tidak setuju atau sudah meninggalkan mana-mana parti dalam negara ini di samping anak muda baru mahu berjinak dengan politik.

Selain itu menurut Mohamad, ramai pemimpin pelajar kini menyertai Amanah dan memegang pelbagai jawatan dalam sayap Pemudanya walaupun masih belum tamat pengajian masing-masing.

Sekali lagi mengambil contoh Kelantan, Moahamd berkata hampir kesemua tokoh-tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) profesional yang selama ini aktif di Kelantan tetapi tidak menyertai mana-mana parti kini menyertai Amanah.

Mohamad mengakui, Amanah paling subur di Pantai Barat bermula dari Pulau Pinang, Ipoh sehingga ke Johor Baru tetapi perkembangan di Kelantan amat mengejutkannya.

"Sebelum ini Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Rahim (Wan Abdullah) sudah mengumumkan Amanah tidak akan bertanding kerusi negeri di Kelantan (untuk mengelakkan pertembungan dengan PAS) tetapi dalam pertemuan terakhir saya dengan beliau, Wan Rahim kata ia terpaksa dikaji balik ekoran perkembangan ini,” katanya.
  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...