Search This Blog

Sunday 13 September 2015

Tragedi kren runtuh di Makkah - 5 Jemaah Malaysia terkorban



MAKKAH - ARAB SAUDI . "Syukur dapat duduk melihat Kaabah, semalam datang (10 September), tapi tak dapat lihat Kaabah. Hari ini dapat posisi baik, bersolat depan Kaabah. Seronok sangat dapat duduk depan bersolat menghadap Multazam (pintu Kaabah) pula".

Demikian kata-kata akhir Allahyarhamah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai Perak, antara lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas, kepada rakan sebilik Zurina Yahya.

Menurut Zurina, 56, dari Alor Star, Kedah, tidak lama selepas perbualan di Masjidil Haram itu, beliau terdengar bunyi riuh rendah dan melihat Kak Rus (nama pangilan pada Allahyarhamah) sudah pun terbaring.

Zurina tiba di tanah suci menerusi penerbangan KT47 pada Rabu lepas (9 September) bersama ibu (Khalijah Che Mat, 70-an) dan Che Lian Saleh, 58 (ibu saudara) dan ditempatkan sebilik bersama Jainah Amir (nama pangilan Maksu), 58 dan Allahyarhamah Rusiah yang berasal dari Sungkai, Perak.


Keadaan menjadi panik, hiruk-pikuk dan kelam-kabut dengan jemaah haji bersesak-sesak menyelamatkan diri daripada sesuatu, katanya kepada Bernama.    

Zurina yang ketika itu sedang duduk sebaris bersolat di Masjidil Haram bersama ibu, ibu saudara dan Maksu, bingkas bangun untuk sama-sama jemaah lain menyelamatkan diri daripada kekecohan yang mereka sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku.

"Saya bangun capai tangan ibu dan bersesak-sesak dengan keadaan jemaah lain, saya lihat Kak Rus terbaring, tapi saya tak mampu berbuat apa-apa.

"Saya yakinkan diri saya yang Kak Rus akan dibantu jemaah lain atau pasukan keselamatan. Di luar Masjidil Haram hujan lebat ketika itu," katanya.

Dalam suasana kelam kabut itu, Zurina yang masih dalam proses pemulihan akibat kemalangan pada 2013, sentiasa memimpin tangan ibunya yang mengalami masalah pendengaran agar tidak terlepas. Ibu saudara dan Maksu (Jainah) juga berada bersama ketika mereka menyelamatkan diri.

"Saya masih dalam proses pemulihan untuk berjalan semula dengan menggunakan tongkat. Tapi pada hari kejadian kren tumbang selepas waktu Asar...saya boleh berjalan dan pimpin insan-insan yang saya sayangi mencari arah pulang ke Maktab 89, di bangunan Masaat Al Badae, yang jaraknya 900 meter dari Masjidil Haram," katanya dan menambah berita kematian Kak Rus dimaklumkan kepada mereka sebelum solat Maghrib malam tadi.

Rusiah yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden berkenaan, disahkan sebagai mangsa pertama jemaah Malaysia yang terkorban.



Empat lagi yang disahkan terkorban ialah Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah  Merah, Kelantan) dan mangsa terbaharu disahkan hari ini
ialah Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor. - Bernama

DAP kekal dalam k'jaan S'gor walau PKR, PAS bekerjasama

DAP akan terus mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor, meskipun PKR tetap berkeras mahu bekerjasama dengan PAS, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Lim berkata langkah itu bagi menghalang PAS daripada memperkenalkan dasar pentadbiran yang tidak sesuai kepada rakyat Selangor.

Katanya, jika DAP berundur daripada kerajaan negeri Selangor, PAS dibimbangi akan berbuat apa sahaja, sebagai contoh, memperkenalkan larangan menjual arak.

"Pendirian kita jelas. Walaupun PKR mahu bekerjasama dengan PAS, itu ialah hak dan keputusan mereka.

"Bagaimanapun, kita mengakui ia akan sedikit menjejaskan (kedudukan) DAP dalam kerajaan Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Kedai Kopi dan Pendaftaran Pengundi Baru anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya di Taman Molek, di Johor Bahru hari ini.

Lim berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PKR yang tetap mahukan PAS berada dalam pakatan pembangkang dan bagaimana kedudukan DAP dalam kerajaan Selangor dengan pendirian PKR itu.

Turut hadir Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.


Amanah akan berjumpa RoS bincang tentang nama

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub berkata, nama tersebut dicadangkan selepas permohonan mereka untuk mendaftarkan Parti Progresif Islam Malaysia ditolak Kementerian Dalam Negeri. – Gambar fail
Amanah akan berjumpa RoS bincang tentang nama

Pemimpin parti serpihan PAS akan bertemu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) minggu depan untuk menyelesaikan masalah berhubung penggunaan nama baharunya Parti Amanah Negara (Amanah).

Ini berlaku selepas Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata mereka tidak dibenarkan sama sekali mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Amanah selagi pertukaran nama daripada Parti Pekerja Malaysia belum diluluskan.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, nama tersebut dicadangkan selepas permohonan mereka untuk mendaftarkan Parti Progresif Islam Malaysia ditolak Kementerian Dalam Negeri.

"Kami umumkan nama Parti Amanah Negara kerana kami mahu beritahu ahli dan orang ramai. Ini menunjukkan kesungguhan kami dan niat untuk menubuhkan parti baharu," kata Salahuddin kepada The Malaysian Insider.
Salahuddin berkata, RoS masih belum meluluskan mereka menggunakan nama Amanah walaupun permohonan sudah dibuat. – 13 September, 2015.

Amanah tidak boleh anjur aktiviti selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata RoS



Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ketua pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata larangan itu adalah selaras dengan ketetapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, RoS menerima notifikasi daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia berhubung pelantikan baharu ahli Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang diadakan 25 Ogos lepas.

"Sebahagian besar ahli jawatankuasa baru ini, adalah terdiri daripada bekas ahli PAS yang pernah memegang jawatan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013-2015," katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, permohonan parti itu untuk menukar nama kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan setakat ini.

Razin berkata mana-mana pertubuhan atau parti dan pemegang jawatan yang didapati melanggar larangan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000.

Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.

Bekas timbalan presiden PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata parti itu akan dilancarkan pada 16 September ini.

GHB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak ahli parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI) sebagai nama rasmi parti politiknya, namun RoS menolak permohonan itu. – Bernama, 13 September, 2015.

PAS Selangor beri amaran Amanah jangan pengaruhi ahli mereka



PAS Selangor memberi amaran supaya tiada lagi gerakan mempengaruhi ahli mereka untuk diserap ke dalam Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun mengamalkan konsep demokrasi dan terbuka dari segi keahliannya, kata Mohd Khairuddin Othman kepada akhbar Sinar Harian.

Setiausaha PAS Selangor  itu pada masa yang sama turut memberi jaminan setakat ini tiada lagi wakil rakyat mereka di Selangor akan keluar parti selepas 3 ahli Parlimen dan 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka bertindak sedemikian.

"Sebanyak 13 Adun PAS memberikan taat setia kepada parti dan bagi yang sudah keluar kita tetap alu-alukan mereka menyertai PAS semula jika berubah fikiran.

"Mereka yang keluar parti tiada lagi hubungan dengan PAS, ahli biasa tidak dikenakan tindakan, manakala calon PAS yang melanggar bai'ah perlu melakukan kifarah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata pihaknya tidak terkejut dengan tindakan ahli keluar parti termasuk wakil rakyat yang ada antaranya menunjukkan sikap ke arah itu.

Beliau turut memberi contoh seperti Tan Sri Muhammad Muhd Taib sambil menggelarkannya seorang yang tidak memahami perjuangan PAS.

"Sejak awal memang dah nampak ada yang ke arah itu termasuklah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang baru menyertai PAS dan tidak memahami perjuangan PAS.

"Kita tidak dapat menjangkakan sama ada jumlah yang keluar parti akan terus meningkat atau sebaliknya kerana ia melibatkan hati. Alangkah baik semangat menarik ahli dibuat ketika mereka bersama PAS dahulu," katanya.

Namun, apabila ditanya sama ada mereka yang keluar PAS dianggap pengkhianat atau sebaliknya, beliau berkata, hanya rakyat yang berhak menilainya.

Sementara itu, pihaknya menyeru DAP menghormati dan tidak mencampuri atau mempersoalkan sebarang keputusan dibuat PKR mahupun PAS.

"Keputusan PKR mahu jalinkan kerjasama dengan PAS perlu dihormati dan mereka (DAP) tiada hak untuk campur tangan. Jika DAP tak suka PAS, mereka tak boleh paksa PKR membuat perkara sama.

"Jangan kebudak-budakan, tak perlu tentukan keputusan parti lain dan mereka perlu berlapang dada dari segi kepimpinan terutama di Selangor yang masih menjalin kerjasama dalam sebuah kerajaan.

"Soal DAP itu hal mereka, jangan campuri hal orang lain, sama ada DAP berundur atau tidak terpulang kepada mereka tapi yang pasti PAS dan PKR masih bekerjasama.” – 13 September, 2015.

Polis minta orang ramai jangan percaya rusuhan di Taman Assam Jawa, Kuala Selangor


Polis hari ini menafikan berlaku rusuhan akibat kemalangan maut melibatkan seorang wanita berusia 36 tahun di Taman Assam Jawa, di Kuala Selangor pada Jumaat lepas.

Sehubungan itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah meminta orang ramai agar tidak percaya dengan maklumat yang disebarkan di laman sosial mengenai berlakunya rusuhan di situ.



Beliau berkata, siasatan polis mendapati terdapat fakta tidak tepat mengenai insiden itu yang tersebar luas di laman sosial sejak semalam.

"Berikutan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terus percaya dan terpengaruh dengan spekulasi di laman media sosial sejak semalam berhubung insiden ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di Kuala Selangor, hari ini.

Katanya, kemalangan berlaku pukul 7.30 malam di mana wanita itu, Norjunaidah Sahak maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tembok konkrit longkang di Km41 Jalan Klang-Teluk Intan di simpang masuk ke Taman Assam Jawa.

"Ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke rumahnya di Kuala Selangor.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa cuba mengelak sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun," katanya.

Adnan berkata, pemandu kenderaan itu kemudian terus menghubungi 999 bagi memaklumkan kejadian sebelum ke sebuah restoran berdekatan untuk menjamu selera.

Katanya, beberapa minit kemudian sekumpulan lelaki menghampiri pemandu itu dan berlaku pertengkaran sesama mereka sebelum dileraikan 2 anggota polis.

"Semasa polis membawa lelaki itu ke dalam kereta peronda, berlaku sedikit pergelutan antara polis dan kumpulan lelaki berkenaan yang mengakibatkan seorang anggota polis cedera ringan.

"Seorang lelaki lain berusia 29 tahun yang merakam insiden berkenaan turut ditumbuk dan ditendang kumpulan berkenaan sebelum diselamatkan polis," katanya.

Berikutan itu, Adnan berkata seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan awal pagi tadi di Kuala Selangor bagi membantu siasatan. – Bernama, 13 September, 2015.
  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...