Search This Blog

Sunday 13 September 2015

PAS Selangor beri amaran Amanah jangan pengaruhi ahli mereka



PAS Selangor memberi amaran supaya tiada lagi gerakan mempengaruhi ahli mereka untuk diserap ke dalam Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun mengamalkan konsep demokrasi dan terbuka dari segi keahliannya, kata Mohd Khairuddin Othman kepada akhbar Sinar Harian.

Setiausaha PAS Selangor  itu pada masa yang sama turut memberi jaminan setakat ini tiada lagi wakil rakyat mereka di Selangor akan keluar parti selepas 3 ahli Parlimen dan 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka bertindak sedemikian.

"Sebanyak 13 Adun PAS memberikan taat setia kepada parti dan bagi yang sudah keluar kita tetap alu-alukan mereka menyertai PAS semula jika berubah fikiran.

"Mereka yang keluar parti tiada lagi hubungan dengan PAS, ahli biasa tidak dikenakan tindakan, manakala calon PAS yang melanggar bai'ah perlu melakukan kifarah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata pihaknya tidak terkejut dengan tindakan ahli keluar parti termasuk wakil rakyat yang ada antaranya menunjukkan sikap ke arah itu.

Beliau turut memberi contoh seperti Tan Sri Muhammad Muhd Taib sambil menggelarkannya seorang yang tidak memahami perjuangan PAS.

"Sejak awal memang dah nampak ada yang ke arah itu termasuklah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang baru menyertai PAS dan tidak memahami perjuangan PAS.

"Kita tidak dapat menjangkakan sama ada jumlah yang keluar parti akan terus meningkat atau sebaliknya kerana ia melibatkan hati. Alangkah baik semangat menarik ahli dibuat ketika mereka bersama PAS dahulu," katanya.

Namun, apabila ditanya sama ada mereka yang keluar PAS dianggap pengkhianat atau sebaliknya, beliau berkata, hanya rakyat yang berhak menilainya.

Sementara itu, pihaknya menyeru DAP menghormati dan tidak mencampuri atau mempersoalkan sebarang keputusan dibuat PKR mahupun PAS.

"Keputusan PKR mahu jalinkan kerjasama dengan PAS perlu dihormati dan mereka (DAP) tiada hak untuk campur tangan. Jika DAP tak suka PAS, mereka tak boleh paksa PKR membuat perkara sama.

"Jangan kebudak-budakan, tak perlu tentukan keputusan parti lain dan mereka perlu berlapang dada dari segi kepimpinan terutama di Selangor yang masih menjalin kerjasama dalam sebuah kerajaan.

"Soal DAP itu hal mereka, jangan campuri hal orang lain, sama ada DAP berundur atau tidak terpulang kepada mereka tapi yang pasti PAS dan PKR masih bekerjasama.” – 13 September, 2015.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...