Search This Blog

Sunday 13 September 2015

Amanah tidak boleh anjur aktiviti selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata RoS



Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ketua pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata larangan itu adalah selaras dengan ketetapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, RoS menerima notifikasi daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia berhubung pelantikan baharu ahli Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang diadakan 25 Ogos lepas.

"Sebahagian besar ahli jawatankuasa baru ini, adalah terdiri daripada bekas ahli PAS yang pernah memegang jawatan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013-2015," katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, permohonan parti itu untuk menukar nama kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan setakat ini.

Razin berkata mana-mana pertubuhan atau parti dan pemegang jawatan yang didapati melanggar larangan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000.

Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.

Bekas timbalan presiden PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata parti itu akan dilancarkan pada 16 September ini.

GHB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak ahli parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI) sebagai nama rasmi parti politiknya, namun RoS menolak permohonan itu. – Bernama, 13 September, 2015.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...