Search This Blog

Monday 7 September 2015

APA NIAT PRESIDEN PAS SEBENARNYA DALAM ISU BAI'AH TAKLIQ TALAK TIGA - HANIPA MAIDIN



APA NIAT PRESIDEN PAS SEBENARNYA DALAM ISU BAI'AH TAKLIQ TALAK TIGA, SOAL AHLI PARLIMEN SEPANG, YB HANIPA MAIDIN

Saya mendengar dan menonton rakaman video ucapan Presiden Pas mengenai isu baiah yang melibatkan Yb Dr Hatta Ramli.

2. Setelah mendengar dan mengamati beberapa kali ucapan beliau tersebut nampaknya wujud jalan keluar ( exit route atau escape clause ) bagi isu kesan baiah tersebut yang mengandungi satu hukuman ( 'iqab) yang amat keras iaitu penceraian talak tiga ke atas pihak yang berbaiah sekaligus menghukum juga pihak ketiga yang bukan menjadi pihak dalam baiah tersebut iaitu isteri Ahli Parlimen dan sudah tentu juga dirasai kesannya oleh anak anak beliau.

3. Ada dua perkara menarik daripada kenyataan Presiden Pas tersebut yang menimbulkan tandatanya.

4. Pertamanya, beliau menukilkan pendapat Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang mengatakan jatuhnya talak 3 kesan daripada baiah tersebut dan berkemungkinan Mahkamah Syariah Kelantan akan "'ligan"'('kejar )'Dr Hatta untuk dibawa ke Mahkamah Syariah Kelantan.

5. Walaupun Presiden Pas tidak secara jelas menyatakan sokongan atas apa yang dikatakan oleh Ketua Hakim tersebut, namun sikap Presiden Pas yang tidak sama sekali mengkritik tindakan seorang Hakim yang mendahului menjatuhkan hukum sebelum pihak yang dihukum itu dibawa ke Mahkamah menimbulkan persoalan -adakah Presiden Pas merestui kaedah dan bentuk keadilan sebegitu ?

6. Bukankah prinsip sub judice ( tidak mendahului menjatuhkan hukum ) adalah satu prinsip asas dan fundamental dalam sistem keadilan Islam yang sudah tentu Presiden sebuah parti Islam yang berstatus ulama sepatutnya ke depan mempertahankan prinsip keadilan Islam itu?

7. Keduanya, Presiden Pas juga nampaknya bersetuju di sana wujudnya jalan keluar bagi mengelakkan kesan baiah yang keras itu iaitu dengan pihak Pas boleh membuat keputusan memecat Dr Hatta sekaligus kesan baiah tersebut tidak lagi wujud dan terpakai. Sudah tentu ini kaedah terbaik yang Pas patut lakukan demi menyelamatkan satu rumahtangga yang telah dibina sekian lama, dengan andaian baiah itu sendiri bukan baiah yang laghah. Sudah tentu jika baiah itu sendiri diputuskan laghah,saranan Presiden Pas itu tidak relevan lagi.

8. Mengambil kira wujudnya pelbagai pendapat tentang kesahihan baiah itu ,sudah tentu mencari jalan keluar dari masalah pertikaian tersebut ( al-khuruj min khilaf ) adalah satu cara yang baik yang para ulama anjurkan dalam situasi sebegitu.

9.Persoalannya kenapa Pas atau Presiden Pas enggan mengambil atau memilih jalan keluar itu demi menyelamatkan suatu rumah tangga seseorang? Keengganan Pas atau Presiden Pas menawarkan formula jalan keluar itu dengan memecat Dr Hatta mengundang spekulasi liar bahawa dendam menjadi asas kepada keengganan Pas tersebut. Di manakah Islam sebagai rahmat ( mercy ) yang Pas selalu canangkan selama ini ?

10. Bukankah 'Allamah Ibnu Al Qayyim menyatakan "Syariah itu adil keseluruhannya, rahmat keseluruhannya, hikmah ( wisdom ) keseluruhannya, maslahah keseluruhannya dan mana mana perkara yang keluar dari prinsip keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari maslahah kepada kerosakan ( mafsadah ) dan dari hikmah kepada sia sia ia bukanlah syariah meskipun kita cuba masukkan ianya dalam kategori syariah.."

11. Saya tertanya, adakah ketika mana isu baiah ini dihebohkan serata dunia , adakah kita sedang tonjolkan syariah yang sebenarnya atau bagaimana?

Wallahu 'alam wa huwa al Musta'an

Mohamed Hanipa Maidin
Parti Amanah Negara
http://parti-amanah-rakyat.blogspot.my/

2 comments:

  1. Lambang jiwa yang kacau seorang president.

    ReplyDelete
  2. Tetapi satu lagi cara untuk mengelakkan dari tercerai isteri dengan talak 3 ialah dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen/ADUN PAS terlebih dahulu, selepas itu barulah menyertai parti lain. Tetapi mengapa langkah ini tidak diambil?

    ReplyDelete

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...