Search This Blog

Monday 14 December 2015

Kastam kutip GST berjumlah RM30 bilion

TIMBALAN Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili (tengah) menyampaikan piala kepada pelatih terbaik keseluruhan, Ruslyana Farahana Ruslee, 25, (kiri) sambil diperhatikan Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Azimah Abd Hamid (kanan) pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di AKMAL, Bukit Baru, Melaka
MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memungut hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM30 bilion setakat ini. 
 
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili, berkata bilangan individu dan syarikat yang mendaftar untuk pelaksanaan GST turut meningkat kepada 400,000 sejak cukai itu diperkenalkan pada 1 April lalu. 

"Kutipan memang tinggi daripada sasaran dan ia dijangka meningkat tahun depan," katanya pada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad bagi merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengarah AKMAL, Azimah Abd Hamid. 

Seramai 250 pelatih menamatkan kursus asas penguat kuasa gred berkenaan selepas mengikuti pelbagai latihan yang diadakan selama lapan minggu bermula 19 Oktober hingga 14 Disember lalu di AKMAL.

Amanah 'bot penyelamat' teruskan perjuangan Islam, kata Dr Siti Mariah


Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud
Pelajar wanita pertama yang memakai tudung di Kolej Tunku Kursyiah, Dr Siti Mariah Mahmud yakin, Parti Amanah Negara (Amanah) yang beliau sama-sama tubuhkan adalah 'bot penyelamat' perjuangan Islam selepas ramai ahli PAS mahu meninggalkan parti itu.

Pendekatan sebahagian besar pimpinan PAS yang tidak lagi sesuai dan dilihat merugikan perjuangan Islam menyebabkan mereka mahu meninggalkan parti itu tetapi mahu kekal dalam perjuangan yang menjadikan Islam sebagai dasar.

“Amanah ini satu bot penyelamat kepada ahli-ahli yang nak berjuang atas landasan Islam tetapi tidak bersetuju dengan pendekatan pemimpin PAS sekarang,” kata Dr Siti Mariah kepada Malaysia Dateline dalam satu pertemuan khas dengan beliau.

Inilah sebab di sebalik tindakan ahli parlimen Kota Raja ini bersama-sama membina Amanah, parti Islam baru yang kini sedang membina jati diri dan membentuk sebuah parti baru yang inklusif dan berteraskan rahmatan lil alami (rahmat untuk seluruh alam).

Dr Siti Mariah yang kini memegang jawatan sebagai ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) mengakui tindakan tersebut merupakan keputusan besar dalam perjuangannya membawa politik Islam yang sesuai dengan keperluan masyarakat hari ini.

Menurutnya, beliau boleh sahaja memilih untuk terus berada dalam zon selesa bersama PAS namun memilih untuk bersama Amanah yang lebih inklusif demi kelangsungan politik Islam di negara ini.

“Memang kalau ikut keselesaannya duduk dalam parti lama diam-diam, kemudian berhenti sebagai wakil rakyat dengan terhormat, disanjung dan dipuja. Sekarang saya dimaki dan dicerca.

“Tapi bagi saya, Allah tahu niat saya kenapa saya menerima ajakan untuk bersama dengan Amanah.

“Sekiranya Amanah tidak terbentuk maka ramai ahli PAS akan meninggalkan parti dan menyertai DAP atau PKR," katanya.

Beliau juga berkata, jika terus berada dalam PAS, beliau tidak boleh membawa idea yang baru dan sukar untuk membuat perubahan kerana ahli dan pemimpin PAS sudah mempunyai cara fikir dan cara kerja yang sudah sebati dengan diri mereka.

“Masa dalam PAS saya dah mula selesa sebab PAS kuat cuma dalam PAS ini sudah ada cara kerja tertentu, sudah ada acuan jadi saya nak buat perubahan agak susah maklumlah dah 60 tahun jadi nak mengubah itu memang agak susah.

“Tapi dalam Awan saya rasa bagus sebab saya ada peluang untuk membentuk dan mengacu semula cara berfikir, cara bertindak. Dalam PAS hasil daripada kita menongkah arus maka kita menjadi tidak disukai,” ujar bekas pegawai perubatan dan juga pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan ini.

Walaupun tidak menafikan dasar PAS masih sama iaitu Islam, namun sikap sebilangan besar pemimpinnya akhir-akhir ini yang merasakan mereka sahaja di pihak yang benar menjadikan beliau tawar hati dengan parti yang disertainya sejak tahun 1980-an lagi.

Berbicara dengan wanita berusia 58 tahun ini, beliau ternyata tidak lokek berkongsi isi hatinya tentang suka duka dalam perjuangan politiknya.

Tanpa berselindung Siti Mariah memberitahu, tahun ini beliau pernah memasang angan-angan untuk bersara daripada dunia politik dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga selain meneruskan hobi berkebun.

Katanya, selepas kalah dalam pemilihan bagi jawatan timbalan ketua Dewan Muslimat PAS dalam muktamar Jun lalu, beliau hanya mahu menghabiskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Kota Raja sebelum meninggalkan dunia politik.

Lebih-lebih lagi PAS sudah menunjukkan tanda-tanda perpecahan ketika itu dan budaya label-melabel semakin ketara.

“Bila terbentuknya Amanah maka saya diamanahkan mengetuai Awan dan saya lihat tanggungjawab saya untuk menyiapkan satu asas yang kukuh kepada sayap wanita ini.

“Ini sekali lagi memerlukan pengorbanan kerana ini kita mula dari kosong balik. Sesiapa yang menuduh kononnya saya nak jadi ketua, saya nak jawatan, saya ada kepentingan, dia tak akan faham jiwa saya jiwa aktivis dan jiwa pejuang. Saya tidak boleh hanya melihat sesuatu keadaan itu terbiar tanpa memberikan sumbangan,” katanya.

Namun beliau menambah, selepas berhijrah ke Amanah, rindu terhadap rakan-rakan dalam PAS begitu tebal.
Dr.Siti Mariah sentiasa mempunyai aktiviti bersama pengundi di kawasannya
“Tapi rasa sedihnya saya adalah saya merindui kawan-kawan, merindui muslimat yang pada saya sebahagian besar ikhlas, sebahagian besar berjuang kerana Allah dan tidak ada kepentingan dengan diri. Itu saya tidak dapat sangkal,” luahnya.

Berdakwah sejak tingkatan empat

Bekas penuntut Kolej Tunku Kurshiah ini pernah diperli oleh pengetuanya kerana ‘berdakwah' tanpa tauliah.

Cerita Siti Mariah, sewaktu di tingkatan empat, buat pertama kali beliau menyertai perkhemahan ibadah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Dalam perkhemahan itu beliau didedahkan dengan cara hidup Islam yang sebenar, konsep khalifah dan tujuan kehidupan di dunia.

Sekembalinya dari perkhemahan, beliau mula memakai tudung dan merupakan pelajar perempuan pertama yang bertudung di kolej tersebut.

Beliau juga berasa bertanggungjawab untuk menyebarkan dakwah kepada pelajar lain dengan mengadakan usrah di kalangan kawan-kawan.

Akibatnya, sewaktu perhimpunan mingguan, pengetua kolej dalam ucapannya memerli dengan mengatakan bahawa orang yang tidak ada tauliah untuk mengajar agama tidak boleh memandai-mandai berdakwah kepada orang lain.

Namun beliau menganggap ia satu cabaran untuk terus mengamalkan Islam yang sebenar seterusnya menyebarkannya kepada orang lain.

“Jadi saya balik ke asrama saya mula berdakwah dengan budak-budak kolej. Sampai sekarang kalau mereka jumpa saya, mereka akan kata, inilah Kak Mariah. Dulu dia yang mula-mula pakai tudung. Saya dah mula berdakwah waktu itu tapi tak pernah memimpin,” ceritanya sambil ketawa.

Perbualan kami beberapa kali terhenti apabila beliau menjawab panggilan daripada penduduk Parlimen Kota Raja, kawasan yang diwakili bagi penggal yang kedua selepas menang buat pertama kali dalam pilihan raya 2008 lalu.

Beberapa pemanggil ketika itu menghubungi beliau mengadu bekaitan masalah banjir kilat yang melanda kawasan mereka.

“Setiap kali hujan lebat, saya jadi tak senang hati memikirkan penduduk di kawasan saya. Telefon saya pun tak berhenti berdering.

“Saya sudah banyak kali buat aduan ke majlis perbandaran tapi masih tak selesai-selesai,” luahnya kesal.

Parlimen Kota Raja merupakan kerusi parlimen yang dimenangi beliau dalam pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti tertinggi di kalangan ahli parlimen PAS iaitu 29,792 undi.

Pengundinya pula adalah pelbagai kaum iaitu 46% Melayu, 38% India dan 16% Cina, suatu kerusi yang luar biasa untuk PAS menang sebelum pilihan raya umum 2008.

Pendek kata, kemenangan Dr Mariah di Kota Raja di saming rakan-rakannya yang lain di kawasan kerusi campuran membuka satu dimensi baru perjuangan Islam di negara ini.

Namun sikap sesetengah pemimpinnya yang dilihat cuba menjauhi dan memusuhi orang bukan Islam dan parti mereka telah menjauhkan PAS dari mereka dan seterusnya memecahkan parti itu dan terbentuknya Amanah.

Penguatkuasa agama jangan ceroboh ruang peribadi


Penguatkuasa agama jangan ceroboh ruang peribadi

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
14 Dis 2015, tengahari 2:34

ULASAN Isu yang dibangkitkan oleh G25 baru-baru ini tentang tangkapan khalwat perlu didasari atas beberapa konsep dosa dan apa yang dikategorikan sebagai kesalahan awam.

Islam amat tegas dalam soal dosa kerana ia adalah perosak kepada individu dan berpotensi untuk menjerumuskan masyarakat dalam kelalaian dan kealpaan terhadap ajaran Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Janganlah memandang kecil kesalahan (dosa) tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu derhakai” (hadith riwayat ath-Thusi)

Dosa dinilai keburukannya dari sudut pelaku dan sejauhmana kesannya pada orang ramai. Pelaku dosa yang hanya merosakkan dirinya tak sama dengan pelaku dosa yang merosakkan dirinya dan orang ramai.

Rasuah dan merompak harta awam dan menyembunyikan kebenaran adalah contoh kategori dosa yang melibatkan kerosakan pada manusia terbanyak.

Kesan jangka panjang sesebuah perbuatan dosa juga hendaklah dipertimbangkan oleh pemimpin masyarakat dan penggubal polisi awam.

Berhubung hal ini Imam Al-Shabiti menyatakan:

“Memperhatikan kesan masa depan sesebuah perbuatan adalah antara perkara yang menjadi tuntutan untuk merealisasikan objektif Syara.”

Dosa atau kesalahan yang mengundang murka Allah juga dilihat dari sudut perbuatan sama ada dibuat secara Jahri (terang-terangan) atau Sirri (senyap dan diam-diam). Walaupun kedua-dua keadaan tetap satu dosa namun melakukannya secara terangan menambah satu lagi kesalahan iaitu 'mencabar' perintah laranganNya.

Tidak solat dalam diam adalah dosa namun mengisytiharkan solat itu tak berfaedah dan mengingkarinya secara terangan bagi seorang muslim adalah satu perbuatan mencabar Allah.

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan mendapat ampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah telah menutupi perbuatannya tersebut, yang mana dia berkata, “Hai fulan, tadi malam aku telah berbuat begini dan begitu.”

Sebenarnya pada malam hari Rabb-nya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah tersebut.” (Muttafaq ‘Alaih)

Bagi Muslim piawaian dosa serta tanggungjawab pula hanyalah mengikut apa yang ditetapkan oleh syara. Kita tidak boleh paksa piawaian dosa ke atas penganut lain. Firman Allah SWT: ‘Tidak ada paksaan dalam beragama.’ (QS. Al-Baqarah: 256)

Jangan ceroboh ruang peribadi

Dosa boleh dianggap kesalahan umum apabila perbuatan seseorang sama ada Muslim atau bukan Muslim mencerobohi ruang awam dan membahayakan keselamatan atau merosakkan akhlak awam dan berupaya merosakkan prinsip masyarakat yang diterima ramai.

Bagi ruang peribadi atau sendiri kesalahan melakukan sesuatu perbuatan dosa tanpa pelaku menceroboh ruang awam, kesalahannya diperhitung kelak oleh Allah. Jika kita mengetahuinya maka hendaklah menasihati agar ia bertaubat dan memohon istighfar.

Rasulullah SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Mereka (para sahabat) bertanya,"Untuk siapa, wahai Rasulullah?" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,"Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam kaum Muslimin atau Mukminin, dan bagi kaum Muslimin pada umumnya.”(hadith riwayat Muslim)

Penguatkuasaan atas jenayah dosa lebih kepada kesedaran dan pertanggungjawaban hamba dengan Allah selagi ia bukan jenayah mencabar Allah terang-terangan dan merosakkan maslahat kepentingan masyarakat sehingga lahir benci-membenci antara manusia.

Islam mewajibkan hamba Allah bertaubat pada kesalahannya dengan beristighfar dan membenci perlakuan dosa serta menghayati perasan kesal pada perbuatannya.

Tanggungjawab para ulama dan mereka yang mengetahui adalah sentiasa menasihati supaya sentiasa membenci perkara maksiat dan menekankan Kerahmatan Allah pada pelaku dosa.

Dari Abu Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku,” (Muttafaq ‘Alaih)

Peruntukan penguatkuasa agama membasmi maksiat janganlah melampaui had menceroboh ruang peribadi kerana kesalahan menceroboh ruang peribadi seseorang juga adalah satu dosa.

Allah SWT berfirman: “dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?,” (QS. Surah al-Hujurat: ayat 12)

Penguatkuasaan atas nama agama perlu dicermati malah ada keadaan tertentu yang melibatkan salah guna kuasa para penguatkuasa dan ini amatlah menjengkelkan.

Sudahlah menceroboh ruang peribadi ditambah pula salah guna kuasa. Semuanya dibuat atas nama Islam.

Dosa tetap dosa selagi ia ditetapkan oleh syara. Penguatkuasaan diperlukan terhadap perbuatan yang dianggap sebagai mencabar ajaran Islam secara terangan-terangan.

Walaubagaimanapun tindakan penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.

Jaga nama baik Islam.

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan anggota parlimen Parit Buntar

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...