Search This Blog

Monday 14 December 2015

Amanah 'bot penyelamat' teruskan perjuangan Islam, kata Dr Siti Mariah


Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud
Pelajar wanita pertama yang memakai tudung di Kolej Tunku Kursyiah, Dr Siti Mariah Mahmud yakin, Parti Amanah Negara (Amanah) yang beliau sama-sama tubuhkan adalah 'bot penyelamat' perjuangan Islam selepas ramai ahli PAS mahu meninggalkan parti itu.

Pendekatan sebahagian besar pimpinan PAS yang tidak lagi sesuai dan dilihat merugikan perjuangan Islam menyebabkan mereka mahu meninggalkan parti itu tetapi mahu kekal dalam perjuangan yang menjadikan Islam sebagai dasar.

“Amanah ini satu bot penyelamat kepada ahli-ahli yang nak berjuang atas landasan Islam tetapi tidak bersetuju dengan pendekatan pemimpin PAS sekarang,” kata Dr Siti Mariah kepada Malaysia Dateline dalam satu pertemuan khas dengan beliau.

Inilah sebab di sebalik tindakan ahli parlimen Kota Raja ini bersama-sama membina Amanah, parti Islam baru yang kini sedang membina jati diri dan membentuk sebuah parti baru yang inklusif dan berteraskan rahmatan lil alami (rahmat untuk seluruh alam).

Dr Siti Mariah yang kini memegang jawatan sebagai ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) mengakui tindakan tersebut merupakan keputusan besar dalam perjuangannya membawa politik Islam yang sesuai dengan keperluan masyarakat hari ini.

Menurutnya, beliau boleh sahaja memilih untuk terus berada dalam zon selesa bersama PAS namun memilih untuk bersama Amanah yang lebih inklusif demi kelangsungan politik Islam di negara ini.

“Memang kalau ikut keselesaannya duduk dalam parti lama diam-diam, kemudian berhenti sebagai wakil rakyat dengan terhormat, disanjung dan dipuja. Sekarang saya dimaki dan dicerca.

“Tapi bagi saya, Allah tahu niat saya kenapa saya menerima ajakan untuk bersama dengan Amanah.

“Sekiranya Amanah tidak terbentuk maka ramai ahli PAS akan meninggalkan parti dan menyertai DAP atau PKR," katanya.

Beliau juga berkata, jika terus berada dalam PAS, beliau tidak boleh membawa idea yang baru dan sukar untuk membuat perubahan kerana ahli dan pemimpin PAS sudah mempunyai cara fikir dan cara kerja yang sudah sebati dengan diri mereka.

“Masa dalam PAS saya dah mula selesa sebab PAS kuat cuma dalam PAS ini sudah ada cara kerja tertentu, sudah ada acuan jadi saya nak buat perubahan agak susah maklumlah dah 60 tahun jadi nak mengubah itu memang agak susah.

“Tapi dalam Awan saya rasa bagus sebab saya ada peluang untuk membentuk dan mengacu semula cara berfikir, cara bertindak. Dalam PAS hasil daripada kita menongkah arus maka kita menjadi tidak disukai,” ujar bekas pegawai perubatan dan juga pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan ini.

Walaupun tidak menafikan dasar PAS masih sama iaitu Islam, namun sikap sebilangan besar pemimpinnya akhir-akhir ini yang merasakan mereka sahaja di pihak yang benar menjadikan beliau tawar hati dengan parti yang disertainya sejak tahun 1980-an lagi.

Berbicara dengan wanita berusia 58 tahun ini, beliau ternyata tidak lokek berkongsi isi hatinya tentang suka duka dalam perjuangan politiknya.

Tanpa berselindung Siti Mariah memberitahu, tahun ini beliau pernah memasang angan-angan untuk bersara daripada dunia politik dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga selain meneruskan hobi berkebun.

Katanya, selepas kalah dalam pemilihan bagi jawatan timbalan ketua Dewan Muslimat PAS dalam muktamar Jun lalu, beliau hanya mahu menghabiskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Kota Raja sebelum meninggalkan dunia politik.

Lebih-lebih lagi PAS sudah menunjukkan tanda-tanda perpecahan ketika itu dan budaya label-melabel semakin ketara.

“Bila terbentuknya Amanah maka saya diamanahkan mengetuai Awan dan saya lihat tanggungjawab saya untuk menyiapkan satu asas yang kukuh kepada sayap wanita ini.

“Ini sekali lagi memerlukan pengorbanan kerana ini kita mula dari kosong balik. Sesiapa yang menuduh kononnya saya nak jadi ketua, saya nak jawatan, saya ada kepentingan, dia tak akan faham jiwa saya jiwa aktivis dan jiwa pejuang. Saya tidak boleh hanya melihat sesuatu keadaan itu terbiar tanpa memberikan sumbangan,” katanya.

Namun beliau menambah, selepas berhijrah ke Amanah, rindu terhadap rakan-rakan dalam PAS begitu tebal.
Dr.Siti Mariah sentiasa mempunyai aktiviti bersama pengundi di kawasannya
“Tapi rasa sedihnya saya adalah saya merindui kawan-kawan, merindui muslimat yang pada saya sebahagian besar ikhlas, sebahagian besar berjuang kerana Allah dan tidak ada kepentingan dengan diri. Itu saya tidak dapat sangkal,” luahnya.

Berdakwah sejak tingkatan empat

Bekas penuntut Kolej Tunku Kurshiah ini pernah diperli oleh pengetuanya kerana ‘berdakwah' tanpa tauliah.

Cerita Siti Mariah, sewaktu di tingkatan empat, buat pertama kali beliau menyertai perkhemahan ibadah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Dalam perkhemahan itu beliau didedahkan dengan cara hidup Islam yang sebenar, konsep khalifah dan tujuan kehidupan di dunia.

Sekembalinya dari perkhemahan, beliau mula memakai tudung dan merupakan pelajar perempuan pertama yang bertudung di kolej tersebut.

Beliau juga berasa bertanggungjawab untuk menyebarkan dakwah kepada pelajar lain dengan mengadakan usrah di kalangan kawan-kawan.

Akibatnya, sewaktu perhimpunan mingguan, pengetua kolej dalam ucapannya memerli dengan mengatakan bahawa orang yang tidak ada tauliah untuk mengajar agama tidak boleh memandai-mandai berdakwah kepada orang lain.

Namun beliau menganggap ia satu cabaran untuk terus mengamalkan Islam yang sebenar seterusnya menyebarkannya kepada orang lain.

“Jadi saya balik ke asrama saya mula berdakwah dengan budak-budak kolej. Sampai sekarang kalau mereka jumpa saya, mereka akan kata, inilah Kak Mariah. Dulu dia yang mula-mula pakai tudung. Saya dah mula berdakwah waktu itu tapi tak pernah memimpin,” ceritanya sambil ketawa.

Perbualan kami beberapa kali terhenti apabila beliau menjawab panggilan daripada penduduk Parlimen Kota Raja, kawasan yang diwakili bagi penggal yang kedua selepas menang buat pertama kali dalam pilihan raya 2008 lalu.

Beberapa pemanggil ketika itu menghubungi beliau mengadu bekaitan masalah banjir kilat yang melanda kawasan mereka.

“Setiap kali hujan lebat, saya jadi tak senang hati memikirkan penduduk di kawasan saya. Telefon saya pun tak berhenti berdering.

“Saya sudah banyak kali buat aduan ke majlis perbandaran tapi masih tak selesai-selesai,” luahnya kesal.

Parlimen Kota Raja merupakan kerusi parlimen yang dimenangi beliau dalam pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti tertinggi di kalangan ahli parlimen PAS iaitu 29,792 undi.

Pengundinya pula adalah pelbagai kaum iaitu 46% Melayu, 38% India dan 16% Cina, suatu kerusi yang luar biasa untuk PAS menang sebelum pilihan raya umum 2008.

Pendek kata, kemenangan Dr Mariah di Kota Raja di saming rakan-rakannya yang lain di kawasan kerusi campuran membuka satu dimensi baru perjuangan Islam di negara ini.

Namun sikap sesetengah pemimpinnya yang dilihat cuba menjauhi dan memusuhi orang bukan Islam dan parti mereka telah menjauhkan PAS dari mereka dan seterusnya memecahkan parti itu dan terbentuknya Amanah.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...