Search This Blog

Wednesday 26 August 2015

Harapan Baru jemput Muhyiddin sertai Bersih 4.0

Ketua Anak Muda Harapan Baru, Mohd Sanny Hamzan memasukkan surat jemputan ke dalam peti surat ditemani oleh Naib Ketuanya, Shazni Munir di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini. 


KUALA LUMPUR - Hasrat Anak Muda Harapan Baru untuk menyampaikan sendiri undangan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai himpunan Bersih 4.0 Sabtu dan Ahad ini tidak kesampaian.

Ketuanya, Mohd Sanny Hamzan bersama Naib Ketuanya Shazni Munir tiba di kediaman Muhyiddin kira-kira jam 11.30 pagi namun akhirnya terpaksa mengambil keputusan memasukkan surat jemputan ke dalam peti surat rumah Timbalan Presiden Umno itu.

Difahamkan, Muhyiddin tiada di rumah sewaktu ketibaan mereka.

"Sebagai bekas TPM kami percaya bahawa Tan Sri mempunyai rasa  untuk menyelamatkan negara ini, malah lebih penting rakyat menunggu seorang bekas TPM supaya tampil  berani untuk keluar meperjuangkan masa depan rakyat," kata Shazni  kepada pemberita yang setia menanti di luar kediaman Muhyiddin, di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Sementara itu menurut Mohd Sanny, keyakinan mereka terhadap Muhyiddin dalam mendepani nasib rakyat telah menyebabkan mereka tampil untuk menjemput Muhyiddin.

"Muhyiddin yang kini Timbalan Umno, punyai integriti moral yang tinggi dan berani sebab itu masyarakat harap Tan Sri hadir  dalam himpunan Bersih," katanya.

‎Dalam pada itu, Mohd Sanny berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa himpunan kali ini akan diadakan dalam keadaan aman.

‎"Kita dah sebutkan bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, perhimpunan yang mengikut perlembagaan.

‎"Oleh itu , kita akan pastikan perhimpunan ini tenang dan aman, kerana Sekretariat Bersih juga sudah ada langkah-langkah yang akan diambil  dan pendekatan bagi membolehkan himpunan itu dijalankan dengan baik,

"Untuk pengetahuan semua, Harapan Baru juga sudah ada satu NGO yang dinamakan Arif, satu pertubuhan kita telah daftarkan, dan penyertaan 500 orang bersama-sama menjaga kelancaran lalu lintas, keselamatan, dibantu teman-taman kita dalam  AMK, akan sendiri turun, dan wakil Dapsy sebanyak 500 orang akan  turun pada  29,30, ini," katanya.

Dalam pada itu ujarnya, pihaknya sudah memberikan arahan kepada ahlinya seluruh negara agar turun ke himpunan itu dan berharap tiada mana-mana pihak yang cuba merosakkan himpunan itu.

"Kalau boleh nak ramai, menyelamatkan ekonomi, itu tuntutan kita, jadi kita harap semua pihak bersama-sama, sebab kita tidak mahu rosakkan apa-apa, kita tidak mahu cetuskan perkara tidak baik, yang kita hendak selamatkan adalah negara kita Malaysia, bukan Mongolia‎," katanya.

Terdahulu Mohd Sanny dan Shazni memberitahu bahawa mereka telah memaklumkan tujuan kehadiran mereka ke kediaman Muhyiddin terlebih dahulu.

"Kami ‎telah  berhubung dengan pegawai Muhyiddin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), maklum nak hantar surat jemputan minggu lepas lagi.

"Maklum balas yang diterima positif namun kalau Muhyiddin tidak hadir terpulanglah kepada beliau," katanya

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...