Search This Blog

Saturday 5 September 2015

‘Otai’ reformasi gesa pihak berkuasa halang Himpunan Maruah Melayu

Jurucakap Otai Reformasi, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran, Ronnie Liu berkata, mereka khuatir Himpunan Maruah Melayu berunsurkan perkauman berdasarkan perkataan 'darah' dalam motonya iaitu 'Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku'

Sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka "Otai Reformasi" (singkatan untuk old-timer atau orang lama) hari ini menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap satu demonstrasi dinamakan Himpunan Maruah Melayu yang dijadual berlangsung 16 September dan 10 Oktober depan.

Jurucakap kumpulan itu, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran, Ronnie Liu berkata, mereka khuatir himpunan itu berunsurkan perkauman berdasarkan perkataan "darah" dalam motonya iaitu "Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku".



Beliau juga gusar dengan logo program itu yang menampilkan bayang individu bertanjak dengan melompat sambil menghunuskan parang, serta lokasi himpunan itu akan berlangsung, iaitu di Bukit Bintang dan Jalan Petaling di ibu negara.

Bukit Bintang dan Jalan Petaling merupakan tempat tarikan pelancong di ibu kota yang didominasi peniaga berbangsa Cina.
"Kami minta ketua polis negara, menteri dalam negeri dan perdana menteri ambil tindakan segera sebelum himpunan ini berlangsung dan melibatkan unsur perkauman dan keganasan.

"Sebelum ia merebak ke tempat lain, eloklah mereka bertindak segera," katanya pada sidang media di pagar Masjid Jamek, Kuala Lumpur petang ini.

Liu turut menamakan presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Mohd Ali Baharom dan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos sebagai penganjur himpunan itu.

Mereka kemudian beredar menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

Turut hadir pada sidang media itu Adun Hulu Selangor Saari Sungib serta kira-kira 20 individu lain yang sebelum itu melakukan solat hajat di Masjid Jamek itu.

Ali yang juga dikenali sebagai Ali Tinju, menafikan himpunan itu akan bertukar menjadi satu isu perkauman.

"Mereka pergi bukan untuk bergaduh. Mereka hanya pergi untuk melihat-lihat Jalan Petaling, Bukit Bintang dan Plaza Low Yat.

"Mereka juga tidak akan turun dengan membawa keris atau parang. Mereka akan turun membawa payung kerana Kuala Lumpur sekarang ini cuacanya panas," katanya.

Ali baru sahaja disiasat polis ekoran ucapannya yang didakwa berbaur hasutan di hadapan Plaza Low Yat sewaktu satu insiden di pusat barangan digital itu baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...