Search This Blog

Wednesday 9 September 2015

PAS tak akan sertai pakatan pembangkang baharu, kata Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tidak akan ada penyertaan daripada PAS dalam gabungan parti pembangkang baharu kerana pembentukannya tidak jelas dalam mendaulatkan Islam. – Gambar fail 

Ketika pihak lain berbalah sama ada PAS patut menyertai pakatan pembangkang yang baharu atau tidak, presiden parti Islam itu dilaporkan berkata, ia tidak akan terjadi, lapor sebuah laman portal semalam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan laman Ismaweb berkata, tidak akan ada penyertaan daripada PAS dalam gabungan parti pembangkang baharu atas sebab agenda yang tersirat di sebalik pakatan tersebut.

“Kita tidak boleh hanyut. Pakatan baharu semata-mata hanya untuk menang pilihan raya akan datang. Mereka tiada agenda untuk memartabatkan Islam,” beliau dipetik berkata selepas pertemuan dengan Sekretariat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2015) di Bangi pada Rabu.

Hadi dilaporkan berkata, pembentukan pakatan baharu tidak jelas dalam mendaulatkan Islam.
“Konsep kita, mahu Islam didaulatkan dan dimartabatkan kerana kita tahu negara kita mempunyai majoriti beragama Islam,” katanya kepada Ismaweb, sambil menambah pakatan baharu membawa agenda sebaliknya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bertegas PAS akan menjadi sebahagian pakatan pembangkang baharu, menyatakan ia pendirian kolektif parti selaras amanat ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima mana-mana pihak menentang Barisan Nasional.

Tetapi, ia tidak dipersetujui Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang percaya parti sekular mereka tidak lagi boleh bekerjasama dengan parti Islam itu susulan pengalaman buruk mereka dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini hingga menyebabkan pakatan itu terbubar.


Bagaimanapun, Azmin yang juga menteri besar Selangor jelas masih menganggap PR masih wujud dan mahu PAS terus kekal dalam pentadbiran Selangor.

Parti Amanah Negara (Amanah), parti pembangkang bercirikan Islam yang baru ditubuhkan sebagai alternatif untuk rakyat pula berkata, pemimpin mereka sepakat menerima PAS dalam gabungan baharu tetapi parti Islam itu sendiri yang nampaknya mahu bersendirian.

Timbalan Pengerusi Amanah Salahudin Ayub berkata, sebagai sebuah parti politik Islam yang mengangkat nilai inklusif, Amanah terbuka untuk berunding termasuk dengan PAS.

Tetapi, kata ahli jawatankuasanya Dr Dzulkefly Ahmad, dilihat daripada pendirian Hadi, terbukti PAS nampaknya lebih senang bersendirian.

Bagaimanapun, sebelum ini, ahli parlimen Sepang yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah, Mohamed Hanipa Maidin menolak cadangan PKR untuk terus melibatkan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0.

Pada Selasa lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bermesyuarat dengan Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu bagi membincangkan secara terperinci hala tuju gabungan baharu pembangkang.

Dr Wan Azizah dilaporkan mengalu-alukan Amanah sebagai parti pembangkang baharu dan dipercayai akan bertemu pemimpin DAP dan PAS untuk membincangkan inisiatif Pakatan Rakyat 2.0. – 10 September, 2015.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...