Search This Blog

Monday 16 November 2015

Amanah Selangor tuntut kerusi ahli PBT

Amanah Selangor tuntut kerusi ahli PBT

SHAH ALAM – Pemuda Amanah Selangor tampil menuntut tempat dalam pembahagian kerusi pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Ketua Pemudanya, Abbas Azmi berkata, memandangkan Amanah sudah membarisi komponen dalam Pakatan Harapan tiba masanya parti baharu ini menyumbangkan khidmat dalam pentadbiran PBT.

"Kebanyakan ahli majlis bakal tamat tempoh perkhidmatan Disember ini jadi tiba masanya Amanah turut diberi ruang untuk berbakti kepada masyarakat.

"Kini Amanah ialah sebahagian daripada pentadbiran di Selangor, kita wajar diberi ruang dan peluang dalam PBT. Amanah mahu gerak kerja negeri lebih adil," katanya ketika sidang media, hari ini.

Abbas berkata, Amanah Selangor hanya diwakili tiga ahli Parlimen dan dua Adun maka tidak salah sekiranya parti itu ditempatkan dalam pentadbiran PBT.

Sementara itu, beliau menangkis dakwaan bahawa Amanah bertindak 'mencuri' ahli Pas.

"Kita menghidupkan demokrasi tidak timbul Amanah curi ahli Pas. Bagaimana dengan ahli Umno yang sertai Amanah? Begitu juga dengan individu tidak berparti yang masuk Amanah.

"Perkara ini terpulang kepada indvidu untuk memilih parti yang sesuai dengan ideologi, fikrah dan cara hidup mereka," katanya.

Beliau yakin dengan pendekatan inklusif dan progresif yang dibawa Amanah akan menyuntik perkembangan positif.

Katanya, buat masa ini keahlian Amanah Selangor telah mencatatkan 10,000 ahli dan dalam tempoh dua minggu bakal menginjak ke angka sasaran iaitu 20,000.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...