Search This Blog

Friday 6 November 2015

Amanah generasi kedua politik Islam di Malaysia, kata pengarah strategi Amanah

Pengarah strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu membawa pendekatan baru kepada politik Islam di Malaysia berbanding PAS

Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa ia pejuang politik dan gerakan Islam generasi kedua dengan pendekatan baru yang berbeza dan lebih segar berbanding generasi pertama politik Islam di bawah PAS sebelum ini.

Pengarah strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, generasi kedua gerakan Islam adalah gambaran paling tepat yang boleh diberikan bagi mencerminkan imej Islam yang dibawa Amanah, membezakannya dengan PAS.

"Generasi kami mengambil pendekatan maqasid syariah, sedangkan generasi sebelum kami mengambil pendekatan melaksanakan syariah secara langsung, seperti berjuang melaksanakan hudud secara langsung," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menamakan An Nahdah di Tunisia, AKP di Turki dan PKS di Indonesia sebagai antara generasi kedua gerakan dan parti Islam yang ada di dunia ini sebagaimana kedudukan Amanah di Malaysia.
"Generasi kedua gerakan Islam pasca penjajahan ini lebih memberikan tumpuan kepada keadilan Islam dan 'good governance' kepada sebuah kerajaan yang ditadbirnya."

Amanah turut meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti berimejkan Islam sepertimana PAS. Namun, ramai yang bertanya, apakah beza antara PAS dan Amanah.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, perjuangan untuk Islam yang lebih segar dan inklusif dimulakan mereka sejak dalam PAS lagi, namun terhalang
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, perjuangan untuk Islam yang lebih segar dan inklusif dimulakan mereka sejak dalam PAS lagi, namun terhalang.

Pengarah pilihan raya Amanah itu mendakwa, kumpulan merekalah, terdiri dari golongan pemimpin progresif dan profesional PAS sebelum ini, yang banyak berusaha mendekatkan diri dengan pihak luar dari PAS di negara ini.

"'PAS for all', menyertai dan memperkasakan Pakatan Rakyat, menubuhkan Dewan Himpunan Bukan Islam dan lain-lain, adalah usaha yang kami lakukan," kata Dr Hatta di majlis dialog Amanah dengan profesional di Kota Baru baru-baru ini.

Pemimpin PAS berpecah dua dalam muktamarnya Jun lalu apabila golongan profesional dalam parti Islam itu tersingkir akibat tewas pada pemilihan parti.

Selepas tewas, mereka yang dikenali dengan G-18, kemudiannya menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan kini, Amanah. – 7 November, 2015.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...