Search This Blog

Friday 6 November 2015

Hentikan `gangguan’ terhadap Tun M – Anwar Ibrahim

Anwar yang kini dipenjarakan, meluahkan rasa bimbangnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguamnya
KUALA LUMPUR, 7 November:

Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa bimbangnya berhubung siasatan terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mahu `gangguan’ itu dihentikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguamnya, pemimpin pembangkang yang dipenjarakan itu berkata, Dr Mahathir tidak terbabit dengan jenayah dalam kritikannya terhadap Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jika beginilah cara Tun Dr Mahathir dilayan, hak demokrasi rakyat Malaysia untuk menyoal dan mengkritik kerajaan kini dalam ancaman serius

“Perlembagaan kita dan hak demokrasi dalamnya memberi jaminan kepada rakyat untuk campur tangan atau menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerajaan atau agensi penguatkuasa.

“Berbanding menjalankan siasatan terhadap Tun Dr Mahathir, PM dan kerajaan sepatutnya menjawab soalan penting yang dibangkitkan. Soalan ini juga yang ditanya oleh rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Anwar berkata lagi, siasatan itu akan memburukkan lagi `krisis keyakinan’ terhadap Perdana Menteri dan pihak berkuasa terbabit.

“Saya minta gangguan terhadap Dr Mahathir dan yang lain dihentikan, yang hanya menjalankan tugas mereka terhadap negara kita dengan menyuarakan kesilapan dan salah laku kerajaan serta pemimpinnya.”

Semalam, Dr Mahathir dikunjungi beberapa pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di pejabatnya di bangunan Yayasan Al Bukhary, dengan kenyataannya dirakamkan berhubung dakwaan yang dibuat pada demonstrasi Bersih 4, pada Ogos lalu.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...